Pemilihan pemimpin KEADILAN sering kali mencetuskan perbezaan yang tajam dalam arus kepimpinan parti.
Paksi yang bertentangan mungkin meneruskan persaingan atau perbezaan biarpun setelah berbulan bulan pemilihan berakhir.
Menangani hal berkenaan, Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh mencadangkan agar satu lagi prinsip diterapkan dalam pemilihan kali ini, iaitu konsultasi, setelah prinsip keterlibatan demokrasi dan representasi.
Katanya, KEADILAN harus memperkenalkan konsep konsultasi, yang mana dinamiknya paksi atau calon yang kalah tidak akan dilupakan terus dari arus perdana parti.
"Prinsip ketiga yang kita harus cuba masukkan dalam pemilihan ialah prinsip konsultasi. Kalau kita tengok parti lain ada mengamalkannya.
"Kita juga harus cuba membuka mata, bagaimana konsultasi ini boleh membantu kita di dalam merapatkan jurang perbezaan selepas pemilihan.
"Setiap kali pengalaman kita selepas pemilihan, kita selalu cakap "biduk berlalu kiambang bertaut" tetapi hakikatnya perkara ini tidak berlaku.
"Jadi bagaimana kita nak memastikan kiambang benar benar bertaut? Kita sekarang dah dua tahun lepas pemilihan, masih lagi belum bertaut sepenuhnya. Ini merugikan parti," katanya dalam wawancara bersama Suara Keadilan.
Kata Fuziah, dengan memegang kukuh ketiga tiga prinsip berkenaan maka diharapkan KEADILAN akan menjadi parti yang benar benar demoratik dan menghargai jasa kesemua pimpinan tidak kira lama atau baharu.
Katanya, hal itu akan menjadi cabaran pada pemilihan kali ini untuk melaksanakan konsep berkenaan yang perlu difahami dan diterima oleh anggota.
"(Cabarannya) bagaimana kita menyemarakkan prinsip konsultasi di dalam pemilihan itu supaya akhirnya kita dapat wujudkan satu parti yang ada semangat menyemarakkan demokrasi. Roh representasi kaum, keperluan wanita, anak muda ...
"Dan akhirnya, bagaimana kita boleh pastikan tidak wujud jurang perbezaan selepas pemilihan itu berakhir," katanya lagi.
Sebelum ini, pemilihan KEADILAN dijangkakan pada Mac atau Jun 2025. Bagaimanapun terdapat cadangan untuk meminda pemilihan sehingga ditemukan tarikh yang lebih sesuai.
Dengan ketegasan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim baru baru ini mengarahkan pemilihan segera diadakan maka semua persiapan ke arah itu perlu digerakkan oleh ibu pejabat parti mulai sekarang.
留言