
Pemilihan KEADILAN 2025 mencatat sejarah luar biasa apabila lebih 17,500 pencalonan diterima daripada 222 Cabang di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen tinggi anggota parti dalam mengukuhkan proses demokrasi dalaman yang matang dan inklusif.
"Penutupan proses penamaan calon pada 16 Mac 2025 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pemilihan parti.
"Kini, pemilihan akan memasuki fasa seterusnya, iaitu proses bantahan terhadap calon-calon yang akan berlangsung mulai 18 Mac 2025 bermula 12.00 tengah hari hingga 20 Mac 2025 pada penutup pukul 11.59 malam.
"Selepas itu, proses rayuan terhadap bantahan akan dibuka dari 24 hingga 25 Mac 2025 untuk memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua calon yang bertanding," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kata Dr Zaliha, Pemilihan KEADILAN juga menyediakan cara mudah sekiranya calon ingin menarik diri dengan mengisi borang khas.
"Bagi calon yang memilih untuk menarik diri atau membatalkan pencalonan, mereka diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum 20 Mac 2025.
"Selepas melalui semua proses ini, senarai muktamad pencalonan bagi Cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang dan Wanita Cabang akan diumumkan pada 28 Mac 2025," ujarnya.
Selain itu, Dr Zaliha turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota parti yang telah menyertai proses pemilihan dengan penuh semangat dan dedikasi.
"Penyertaan besar ini membuktikan bahawa KEADILAN terus menjadi wadah perjuangan yang demokratik, inklusif dan terbuka kepada penyertaan akar umbi.
"Oleh itu, JPP mengingatkan semua calon dan penyokong agar terus mematuhi tatacara pemilihan bagi memastikan proses ini berjalan dengan lancar, telus dan harmoni," katanya lagi.
Anggota parti, katanya, boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pemilihan KEADILAN dengan melayari: pemilihan.keadilanrakyat.org serta di media sosial rasmi Facebook dan TikTok Pemilihan KEADILAN 2025.
Comments