
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti yang dijadualkan 24 Mei depan.
Beliau ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Bazaria di Pantai Dalam pada Ahad berkata, beliau percaya dengan langkah itu akan membuka peluang lebih besar kepadanya untuk menyumbang kepada parti.
Menteri Komunikasi itu percaya beliau berpeluang memberikan sumbangan besar kepada parti dengan bertanding sebagai salah seorang calon bagi jawatan itu.
"Ada ruang untuk saya menabur bakti kepada parti dan setelah beberapa perbincangan, insha Allah saya akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden KEADILAN," kata Menteri Komunikasi itu seperti dilapor media.
Sementara itu Fahmi menyifatkan pemilihan kali ini ibarat persaingan dalam sebuah keluarga, di mana semua pihak berusaha untuk bertanding secara sihat.
"Kita berusaha untuk bertanding secara sihat, elakkan elemen-elemen yang tidak baik. Sudah pasti bagi saya dan pasukan, kita akan berikan idea terbaik kerana KEADILAN juga adalah parti yang memandang jauh kehadapan," katanya.
Selain Fahmi, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengumumkan akan bertanding untuk salah satu daripada empat jawatan Naib Presiden.
Tiga daripada empat Naib Presiden yang dipilih pada pemilihan 2022 iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad juga sudah mengumumkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.
Comments