
Menteri Besar (MB) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa proses pemetaan sempadan Selangor dan Kuala Lumpur telah diselesaikan pada Okt tahun lalu
Menurut beliau, proses itu dilaksana Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan secara keseluruhan , pengukuran dan pemetaan sempadan itu mempunyai kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 kilometer (km).
"Pada ketika ini, kita sedang menentukan dan menetapkan kawasan bermasalah (OBP) bagi menyelesaikan nilai-nilai atau jumlah (kawasan) ditetapkan (dalam perbincangan) pada 5 Mac 2020.
"Kita telah menandakan OBP supaya kita boleh melihat kawasan terbabit untuk ditentukan sempadan," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya menjawab soalan dikemukakan ADN Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berhubung perkembangan proses tersebut.
Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata persempadanan kawasan antara Selangor dengan Kuala Lumpur dijangka dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun lagi susulan beberapa isu yang timbul disebabkan kedudukan sempadan yang sebahagiannya melibatkan premis, jalan dan longkang.
Ketika ini pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor sentiasa mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama PTG Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JUPEM untuk memuktamadkan perbincangan berhubung persempadanan Selangor dan Kuala Lumpur.
"Beberapa garis sempadan yang ditetapkan pada 1970-an tidak diukur dan akibatnya ada beberapa premis telah dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Ada juga kawasan yang dibangunkan oleh PBT Selangor, tetapi dalam ukuran sekarang ia termasuk di dalam kawasan sempadan Kuala Lumpur. Kita sangat optimis dapat selesaikan isu sempadan walaupun kawasan sempadan antara Kuala Lumpur dengan Selangor sedikit rumit," katanya.
Amirudin sementara itu memaklumkan, sebaik perkara itu diselesaikan, satu perjanjian akan ditandatangani antara beliau selaku Menteri Besar Selangor dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa untuk memuktamadkan garis sempadan sekali gus mengesahkan kedaulatan tanah serta wilayah Selangor supaya dapat dibangunkan dengan lebih baik.
Comments