Lebih 100,000 rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Putrajaya hari ini menzahirkan kecintaan kepada negara dalam sambutan Hari Kebangsaan 2024 hari ini.
Menurut laporan Bernama, sambutan Merdeka bermula dengan ketibaan dif-dif kehormat pada 6.30 pagi, disusuli keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada jam 8 pagi.
Seri Paduka Baginda kemudian menerima Tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat, dari Kem Perdana Sungai Besi diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, diplomat dan perwakilan asing dilihat menghadiri sambutan itu.
Sambutan dimeriahkan dengan persembahan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2024 yang dijayakan 17,262 peserta, 57 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 343 aset darat, 37 aset udara dan 112 haiwan dalam perkhidmatan.
Hadirin kemudian fokus kepada pertunjukan perarakan komponen kenegaraan yang dimulai kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz 24.3 meter x 12.2 meter oleh 100 pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Perarakan bendera menyemarakkan suasana dengan melibatkan 100 anggota daripada Pasukan Kor Kadet Polis, Persekutuan Pengakap Malaysia dan Pasukan Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan.
Terdapat beberapa persembahan yang agak unik dalam sambutan kali ini antaranya melibatkan kumpulan jidur dan tetuang, kompang, tarian naga dan singa, Chingay, pergendangan Urumi dan Bhangra, tarian merak serta perarakan kuda dan pahlawan Bajau.
Perarakan juga dimeriahkan watak animasi popular, Upin dan Ipin, Boboiboy, Papa Zola dan Ejen Ali, gabungan stesen penyiaran termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Media Prima, RTM dan Astro, turut mewarnai perarakan kontinjen industri kreatif dan penyiaran.
Turut menjadi daya penarik sambutan pagi tadi ialah persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’ menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah turut dipersembahkan, sebagai manifestasi ketelusan tatakelola dan integriti sekali gus mengakhiri persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2024.
*Foto ihsan malaysiakini
Comments