top of page

Pemergian Khurshid Ahmad kehilangan besar dunia Islam - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian tokoh ekonomi, Prof Dr Khurshid Ahmad yang meninggal dunia semalam sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam.


Bekas timbalan ketua Jamaat-e-Islami (JI) itu meninggal dunia pada Ahad di Leicester, United Kingdom. Beliau berusia 93 tahun.


Perdana Menteri berkata, Allahyarham bukan sekadar seorang ilmuwan, malah pemikir ulung serta arkitek kepada pemikiran ekonomi Islam moden dan pengasas bersama The Islamic Foundation di United Kingdom.


"Salam takziah, semoga Allah SWT menerima segala amal soleh beliau, mengampunkan segala dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkan beliau bersama para syuhada dan solihin," katanya dalam hantaran di Facebook.


Perdana Menteri berharap legasi ilmu yang ditinggalkan oleh Khurshid Ahmad akan terus menyinari generasi akan datang.


Dilahirkan pada 23 Mac 1932 di Delhi, India, Khurshid membesar dalam era perubahan politik yang mendalam.


Selepas pembahagian India pada1947, keluarganya berhijrah ke Pakistan dan menetap di Lahore.


Beliau mendapat pendidikan awal di Government College University, Lahore, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dengan kepujian kelas pertama pada 1952.


Perjalanan akademiknya diteruskan di Universiti Karachi, di mana beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Islam.


Terpengaruh secara mendalam dengan tokoh Gerakan Islam Abul A’la Maududi, beliau menjadi ahli aktif Islami Jamiat Talaba pada 1949, dan akhirnya menyertai misi Jamaat-e-Islami dalam usaha kebangkitan semula Islam.


Pada 1965, Khurshid berhijrah ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian kedoktoran dalam bidang Ekonomi di University of Leicester.


Sumbangannya dalam bidang pendidikan diiktiraf apabila Universiti Leicester menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan pada tahun 1970.


Sebagai seorang pendukung setia dalam bidang keilmuan Islam, Khurshid telah bersama-sama dengan Khurram Murad menubuhkan The Islamic Foundation di Leicester, yayasan yang menjadi institusi penting bagi penyelidikan dan pendidikan pemikiran Islam di Barat.


Sekembalinya ke Pakistan, beliau memainkan peranan penting dalam usaha Islamisasi negara.


Pada 2002, tokoh gerakan Islam terkemuka itu telah dipilih sebagai ahli Dewan Senat Pakistan di bawah platform Muttahida Majlis-e-Amal (MMA) dan berkhidmat sehingga 2012.


Sepanjang kerjaya politiknya, beliau kekal sebagai suara yang dihormati dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam, keadilan sosioekonomi, dan pembaharuan pendidikan.


Sumbangan Khurshid telah diiktiraf di peringkat antarabangsa antaranya pada 1990, beliau menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal.


Pada 2011, Pakistan menganugerahkan beliau penghormatan awam tertinggi negara, Nishan-e-Imtiaz, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang keilmuan Islam, perkhidmatan awam, dan pemikiran ekonomi.


Sebagai penulis, pensyarah dan penasihat dasar yang tersohor, pengaruh Ahmad tersebar luas ke seluruh dunia Islam.


Penulisan dan inisiatifnya membantu membentuk teori ekonomi Islam moden dan memberi inspirasi kepada ramai pelajar, ahli akademik, dan aktivis di seluruh dunia.

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page