Pemergian mantan Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali merupakan suatu kehilangan besar kepada parti dan para pejuang reformasi.
Dr Syed Husin merupakan antara tokoh politik awal yang membela Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila tokoh politik itu dipecat dan difitnah pada 2 September 1998.
Lima tahun kemudian bagi memperkuat gerakan melawan pemerintah zalim pada waktu itu, Dr Syed Husin yang merupakan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) membawa partinya bergabung bersama Parti Keadilan Nasional pada 3 Ogos 2003 yang gabungan keduanya dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan kekal sehingga ke hari ini.
Selepas pergabungan itu Dr Syed Husin Ali dilantik sebagai Timbalan Presiden KEADILAN dari 2003 - 2010 sehingga beliau melepaskan jawatan menjelang pemilihan parti tahun tersebut.
Ketua Penerangan KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam catatan di Facebooknya amat terkesan dengan pemergian Dr Syed Husin hari ini.
Beliau yang pernah menjadi aktivitis KEADILAN di Lembah Pantai, berhampiran Petaling Jaya, kediaman Dr Syed Husin mempunyai banyak pengalaman berjuang bersama tokoh gerakan rakyat itu.
"Allahyarham banyak berjasa kepada parti dan rakyat, telah menerbitkan banyak buku termasuk “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta “Sejarah dan Dasar Perjuangan KEADILAN”, dan banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain lama berjuang dalam politik tanah air.
"Saya sendiri pernah membantu kempen Allahyarham waktu beliau bertanding di PJ Selatan.
"Dr Syed seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan para pimpinan. Beliau seorang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin, dan banyak menyampaikan nasihat termasuk kepada diri saya sendiri," katanya yang sempat melawat Dr Syed Husin di Hospital Selayang pada 27 Jun lalu.
Manakala tokoh anak muda yang rapat dengan Dr Syed Husin dan terinspirasi dengan gerakan rakyat beliau adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Adam Adli Abdul Halim.
Adam dalam catatannya berkata, beliau dan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek sempat menziarahi Dr Syed Husin di kediaman tokoh tersebut dua minggu lalu.
Adam menganggap kehilangan Dr Syed Husin begitu besar dan tidak tergambarkan jasanya.
"Pemergian Dr Syed Husin adalah kehilangan yang tidak tergambar besarnya buat kami di KEADILAN, dan lebih terasa lagi secara peribadi. Selama mendewasa, saya memandang Syed Husin sebagai guru, teladan, dan penyuluh fikrah sejak kali pertama mengenali beliau di zaman pelajar.
"Pernah ada masanya saya kerap dapat peluang mengunjungi Dr Syed Husin; sekurang-kurangnya sekali setiap bulan ketika dalam pergerakan pelajar dan masyarakat sivil. Tidak pernah di rumahnya. Sentiasa di kedai minum yang sama berdekatan kediaman beliau di Petaling Jaya. Menadah pengetahuan dan nasihat dari beliau adalah satu nikmat yang dirindui," luahnya di Facebook.
Menurut Adam, hubunganya lebih rapat dengan Dr Syed Husin apabila menyertai KEADILAN pada 2020 dan diarahkan oleh Presiden menjadi setiausaha kerja kepada Dr Syed Husin yang mengepalai sebuah jawatankuasa pemantapan parti.
"Kami bertemu dan bekerja setiap minggu dengan tekun hampir sepanjang tahun tersebut. Dari pengalaman itu, saya kira saya berpeluang belajar soal disiplin organisasi dengan Dr Syed Husin. Satu waktu yang saya anggap amat mahal nilainya.
"Dr Syed Husin orangnya ringkas. Tidak suka bicara sehala, lebih gemar mendengar kemudian bertanya; mungkin caranya untuk cetus perbualan atau mengajak berfikir. Adakalanya bergurau tanpa disangka. Namun tentu paling dikenang adalah ketegasannya. Setiapnya adalah lipatan sejarah dan kenangan seumur hidup.
"Kehilangan ini tiada galang ganti. Saya rakamkan takziah buat keluarga Almarhum Dr Syed Husin Ali. Semoga setiap budinya dihargai, pekertinya diingati, dan amalnya diberkati," katanya.
Terkini, jenazah Allahyarham Dr Syed Husin Ali telah selamat dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor sekitar pukul 11 pagi tadi.
Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Masjid Kampung Tunku, Jalan SS 1/31, Petaling Jaya, Selangor.
Banyak pemimpin politik, aktivis rakyat, ahli akademik kelihatan mengiringi dan memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Dr Syed Husin Ali.
Commenti