Arahan pembatalan semua program konsert di seluruh universiti awam di Malaysia oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu dinilai semula.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan berkata surat arahan tersebut yang mensyaratkan sebarang penganjuran konsert perlu menimbangkan “Proses Penilaian Risiko Luar Jangka” dalam program berunsurkan konsert dan perlu melalui beberapa kelulusan, bukan sahaja di peringkat universiti, malah di peringkat KPT akan melambatkan proses untuk menganjurkan program.
"Pengeluaran surat arahan secara mendadak ini pula mengakibatkan status program-program yang berunsurkan konsert tergantung dan berkemungkinan boleh dibatalkan.
"Perkara ini akan menjejaskan program tersebut, lebih lebih lagi yang akan diadakan dalam masa terdekat," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun KMUM maklum mengenai insiden konsert yang berlaku di Terengganu baru baru ini apabila konsert tersebut bertukar menjadi parti liar.
Namun KMUM menegaskan bahawa program berbentuk konsert seperti itu tidak sepatutnya diadakan di dalam universiti jika ia bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan.
"Walau bagaimanapun, insiden yang berlaku di dalam sesebuah universiti tertentu tidak mencerminkan kesemua polisi universiti - universiti awam.
"Oleh itu, KPT tidak sepatutnya mengeluarkan satu arahan bersifat menyeluruh dan terburu buru yang perlu dipatuhi oleh semua universiti awam," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga membawakan kesan kebebasan bersuara mahasiswa di universiti akan terganggu berdasarkan arahan terbaharu.
Kata KMUM, surat arahan tersebut jelas telah membantutkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berautonomi di universiti.
"Sebagai solusi bagi isu ini, KMUM akan mengeluarkan satu garis panduan yang komprehensif dalam penganjuran program dan aktiviti dari segi keselamatan dan pemantauan.
"Setelah set garis panduan tersebut disediakan, kami juga akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil mahasiswa daripada setiap kelab dan persatuan untuk mendapatkan lebih banyak pandangan mengenai isu ini.
"Memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah pembentukan Kesatuan Mahasiswa di seluruh universiti awam, mahasiswa harus diberi autonomi untuk menganjurkan acara di dalam universiti tanpa campur tangan kerajaan," kata kenyataan itu lagi.
コメント