Kekeliruan yang ditimbulkan pembangkang dan laskar siber mereka berhubung wawancara Perdana Menteri (PM) bersama wartawan CNN kononnya PM menyokong hak mempertahankan diri Israel hari ini dijawab di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri berkata, jawaban beliau kepada soalan wartawan CNN itu berlandaskan piagam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata demikian apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) meminta PM mengaku bahawa beliau terkhilaf dalam temubual berkenaan, dengan berhujah apakah seseorang yang menceroboh mempunyai hak yang sah untuk mempertahankan diri.
"Saya kata ianya kontekstual (pertanyaan). Dia tanya sama ada dalam konteks negara Israel itu (ada) hak wujud?
"Kalau ikut, saya serang habis habisan, itu dalam konteksnya (kewujudan Israel).
"Kedua, mempertahankan diri. Prinsip dalam Piagam PBB mana mana negara yang diserang boleh mempertahankan diri. Itu dia konteksnya.
"Apa dia pertahan diri (bagi Israel)? Kemudian saya kata, bagaimana (Israel dibenar) pertahankan diri, dia barbar, dia ganas, dia zalim. Itu pendirian kita.
"Cuma dia (pembangkang) ambil itu, bagi saya (ini) di luar konteks," kata Anwar.
Dalam pada itu, PM berhujah, terdapat juga perkara lain yang tidak sesuai menggambarkan keganasan Israel terhadap Palestin tetapi dianggap lunak dan diterima pembangkang.
Katanya, istilah gencatan senjata misalnya tidak menggambarkan kesensaraan rakyat Palestin yang diganasi Israel. Namun hakikatnya hal itu terpaksa dipersetujui agar keadaan umat di Gaza tidak menjadi bertambah buruk.
"Istilah gencatan sejata ... saya tidak setuju, apa yang gencatan? Orang serang kamu kemudian gencatan senjata. Istilah tidak betul.
"Kemudian di Riyadh (sidang negara Arab dan Islam) saya kata hentikan keganasan, hentikan penindasan, henti penjajahan.
"Istilah kita guna lain tetapi usul itu gencatan senjata, kita kata ok jika gencatan itu membantu, dan inilah keadannya," kata Anwar lagi.
Sebelum itu PM berkata, jawapan beliau dalam wawancara CNN itu tidak perlu menjadi titik perpecahan dalam membela Palestin.
Beliau kesal kerana pembangkang menjadikan perkara tersebut sebagai penentangan besar besaran segelintir rakyat ke atas Kerajaan dan memecahkan kesatuan umat di Malaysia.
Katanya, beliau menerima teguran Ketua Pembangkang tetapi tidak boleh menerima tindakan pemimpin PN yang menunggang agama dan memecah belahkan perpaduan.
"Dia (Hamzah ajukan) pertanyaan dan minta penjelasan, tidak menghukum. Yang saya ulas keras (PN) menunggang agama itu dia menghukum terus.
"Ini beza dia. Anwar munafik kerana dia menyokong Israel. Itu beza. Itu sebab mengapa saya menentang (menghujah balas)," katanya.
*Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Comments