Oleh: Fiza Halim
Minggu kedua perbahasan Belanjawan 2025 menyaksikan pembangkang masih tercari cari rentak berbahas mengkritik belanjawan yang dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada 18 Oktober lalu.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, hujah pembangkang yang masih berkisar pada isu remeh temeh hanya menyerlahkan citra sebenar mereka sebagai 'raja media sosial' tetapi tidak mampu memberi cadangan konkrit dalam melakukan tugas semak imbang di Dewan Rakyat.
Oleh itu, bagi Nabil, realitinya pembangkang masih belum layak memerintah negara biarpun mereka setiap hari membayangkan mampu mentadbir Malaysia dengan lebih baik.
"Untuk saya pembangkang nak memerintah negara dengan cara ini, boleh lupakan sahaja.
"Untuk menjadi alternatif kepada rakyat Malaysia, mereka sewajarnya ambil peluang ini mencadangkan atau menambahbaik belanjawan yang sedia ada daripada hanya memberi komen retorik dan mempersendakan Perdana Menteri.
"Pembangkang ini seperti tin kosong. Apa yang kita lihat, di saat belanjawan dibahaskan pada minggu lepas sampai sekarang kita hanya dapat kenyataan-kenyataan retorik yang hanya mahu hilangkan fokus perbincangan sedia ada (perbahasan)," kata Nabil ketika dihubungi.
Malah beliau menjelaskan semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang suatu waktu dahulu, pelbagai saranan penambahbaikkan belanjawan dinyatakan dalam perbahasan dan banyak kali pula dimasukkan pada waktu penggulungan di peringkat kementerian.
"Di saat kita dulu pembangkang, kita ada belanjawan alternatif.
"Tetapi pembangkang sekarang untuk belanjawan alternatif pun tak nampak bayang-bayang akan dikeluarkan bagi dinilai rakyat kewibawaan mereka memainkan peranan semak imbang di parlimen.
"Apa yang saya nampak, pembangkang ini tak ada idea dan tak tahu menjalankan kerja sebagai pembangkang," katanya.
Oleh itu, Nabil menggesa anggota KEADILAN terus menerangkan kepada rakyat butir butir yang baik dalam Belanjawan 2025 agar rakyat faham bahawa Kerajaan Madani telah berjaya mengotakan janji sebelum menjadi pemerintah dahulu.
"Saya harap anggota parti teruskan laksana penerangan di peringkat akar umbi tentang belanjawan sedia ada ini, sebab saya nampak ia belanjawan yang baik.
"Juga belanjawan yang berani dari Kerajaan Madani, yang melihat kepada usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat," katanya lagi.
Comments