Oleh: Akmal Manaf
Parti pembangkang diingatkan agar tidak menyimpang daripada tanggungjawab utama mereka iaitu memastikan kerajaan memimpin dengan amanah, telus, dan cekap melalui peranan semak dan imbang.
Peringatan itu diberikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang menyifatkan pembangkang kini lebih sibuk dengan agenda politik untuk menjadi kerajaan, berbanding menjalankan tanggungjawab sebagai pengawas kepada pentadbiran negara.
Beliau mendakwa, pembangkang juga lebih sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri (PM) dalam kalangan mereka di saat Datuk Seri Anwar Ibrahim giat membawa suara Malaysia di peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan asing untuk manfaat rakyat.
''Tidakkah perkara itu bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat?
''Sebagai contoh, Datuk Seri Anwar telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha Malaysia untuk merangka Resolusi PBB bagi mengusir Israel daripada keanggotaan PBB.
''Persoalannya, apa yang telah dilakukan oleh Tan Sri Hadi Awang sewaktu beliau memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuasa?
''Apa hasil konkrit yang telah beliau capai untuk Palestin mahupun Malaysia dalam tempoh tersebut?,'' soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mohammed Taufiq, seorang pemimpin negara perlu memiliki karakter yang mampu menyatupadukan masyarakat dan bukan sebaliknya.
''Malangnya Hadi Awang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri, sering kali menggunakan isu 3R (Race, Religion, Royalty) untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
''Malah, tindakan beliau telah mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan,'' ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu turut mempersoalkan bagaimana pihak pembangkang mampu mentadbir negara dengan baik jika dalam kalangan mereka berlaku ketidakharmonian.
Justeru beliau berkata, pihaknya menggesa pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesionalisme.
''Pembangkang perlu fokus kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka agar ekonomi di negeri berkenaan menjadi lebih baik dan menguntungkan rakyat, bukan membebankan lagi mereka.
''Hentikanlah politik murahan dan tumpukan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberi mandat kepada anda sebagai wakil mereka,'' katanya sinis.
Comentarios