Pembangkang dibidas kerana cuba memainkan isu berunsur perkauman apabila kerajaan mengumumkan peruntukan kepada kampung-kampung Cina di seluruh negara kononnya menyebabkan usaha untuk menyatupadukan rakyat terjejas.
Sedangkan pada masa sama, kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) bagi melaksanakan projek pembangunan ekonomi di setiap komuniti, kata Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Amirudin Shari.
"Ada seruan politik kaum kata orang Cina tidak cukup tetapi apabila diumumkan bantuan untuk Kampung Baru Cina di sama ramai penyokong Perikatan Nasional (PN) bangkitkan orang Melayu tidak dapat apa-apa
"Sedangkan pada hakikatnya sejak Sejati Madani dilaksanakan, ada RM1 bilion (peruntukan), Kampung Melayu ada RM600 juta, RM200 juta kampung-kampung manakala RM100 juta untuk universiti yang sebahagian besarnya pelajar Melayu Islam," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, persespi tersebut perlu dibetulkan kerana sesiapa pun yang mentadbir Malaysia, masyarakat yang bersatu padu merupakan cita-cita utama kerajaan.
"Pembangkang tidak boleh menggunakan elemen ini semata-mata untuk mendapat kepentingan sementara atau keuntungan sementara, jika tidak Malaysia tidak akan dapat bertahan," katanya.
Menjawab pencelahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) mengenai peruntukan kepada pembangkang di peringkat negeri, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata tindakan pihaknya berbuat demikian di Selangor dimulakan dengan persefahaman.
"Saya mulakan di Selangor di 2018, kita berikan peruntukan tetapi perlu ada persefahaman, itu bukan bererti kita harus bertingkah setiap masa," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau di peringkat Persekutuan, kerajaan telah memulakan rundingan tetapi dibalas dengan kenyataan di media oleh pembangkang dan ia diteruskan dengan perbincangan selanjutnya.
"Saya percaya perkara itu perlu ada kedua-dua pihak untuk bersetuju dalam beberapa asas sebelum kita bersetuju untuk penyampaian peruntukan yang sama dan seimbang," katanya.
Terdahulu Amirudin menggesa kerajaan menerangkan dengan tuntas kepada rakyat lebih awal tentang dasar penyasaran subsidi dan percukaian melalui Belanjawan 2025 agar ia tidak memberikan kesan kekeliruan kepada rakyat.
Katanya, perkara itu termasuklah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pemberian tunai terus kepada rakyat yang ditingkatkan kepada RM13 bilion.
Tegas Amirudin, kerajaan perlu berani untuk melaksanakan dasar yang betul walaupun terdapat kesan politik.
"Pada 2019, apabila Selangar sasarkan semula subsidi air percuma, memang terdapat pelbagai kata-kata sinikal menganggap ia memberikan kesan dari segi sokongan politik.
"Kita sasarkan 600,000 akaun daripada 2.4 juta pemilik akaun Air Selangor tetapi yang daftar hanya 340,000 orang walaupun kita sudah naikkan siling dan silingnya hingga (pendapatan) RM5,000 ke bawah.
"Usaha kerajaan cuba menyasarkan subsidi diesel dan RON95 selepas ini, ia mungkin tidak mencapai kejayaan segera tetapi akhirnya ia dapat lihat fungsi kerajaan dilaksanakan dengan betul," katanya sambil menambah bahawa tidak adil subsidi diberikan kepada orang kaya.
Comments