Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang PN tidak wajar hanya mengkritik polisi kerajaan sama ada di Dewan Rakyat atau di luar tanpa memberi cadangan penyelesaian masalah.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar Ishak berkata, kritikan pembangkang terutama mengenai Belanjawan 2025 dan kaedah kerajaan menangani hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion wajar disertakan cadangan alternatif sekiranya mereka mendakwa langkah kerajaan membebankan rakyat.
Sehubungan itu, Haziq menzahirkan rasa 'kasihan' kepada pembangkang yang perlu ditunjuk ajar oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli untuk melihat sudut tertentu langkah kerajaan yang boleh dikritik sekiranya mereka mahu penambahbaikan.
"Kesian... sampaikan Saudara Rafizi pun perlu bantu dengan membuat video untuk ajar pembangkang cara membangkang.
"Kalau kritik (pembangkang) sekadar kritik atau setakat menjadi 'content' di TikTok, apa faedah kritikan itu kepada rakyat?
"Apabila kritik, sediakanlah sekali alternatifnya. Kalau tak dapat belanjawan alternatif pun, nyatakan beberapa perkara asas berkaitan pendekatan belanjawan pembangkang. Tetapi ini apa pun tak ada," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai tahap kualiti blok pembangkang yang mengkritik Kerajaan MADANI dengan mendakwa rakyat mengalami kesengsaraan dan Belanjawan 2025 kurang berkesan membendung inflasi.
Bagaimanapun kata Haziq, setelah perbahasan belanjawan masuk minggu keempat pembangkang tidak juga mengumumkan langkah alternatif daripada pihak mereka.
Dalam pada itu, katanya, kaedah kerajaan menangani hutang negara adalah yang terbaik dan diyakini antarabangsa, buktinya pelaburan asing mencurah masuk ke Malaysia.
Ujarnya, hutang negara jika tidak dikawal atau 'diubati' maka kesannya adalah kemerosotan ekonomi pada masa hadapan.
"Pembangkang kata langkah kerajaan buat rakyat lebih sengsara, tapi kalau kita tidak ambil serius tentang defisit fiskal dalam belanjawan, pada masa akan datang rakyat dan negara akan sengsara," katanya lagi.
Comments