Oleh: Akmal Manaf
Cubaan pembangkang menggambarkan kononnya Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama wartawan CNN menyokong negara Israel tidak dapat diterima masa sekali.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata PM dan Malaysia tidak pernah mengubah dasar terhadap Israel.
Katanya, video suntingan tular yang dimainkan oleh pembangkang serta laskar siber mereka sejak 15 November lalu itu jelas perbuatan tidak bertanggungjawab demi meraih modal politik dan mengalihkan perhatian rakyat terhadap pujian dunia ke atas Anwar yang tegas membela nasib rakyat Palestin.
"Hentikanlah putar belit isu ini dengan elemen fitnah dan naratif yang diselewengkan hanya semata-mata kerana perbezaan pegangan politik.
"Saya menyeru seluruh pemimpin masyarakat untuk bersama-sama melihat perjuangan (membela Palestin) ini dari kaca mata kemanusiaan.
"Elakkan main isu hanya untuk meraih sokongan politik. Ayuh kita tunjukkan solidariti merentasi batas kepartian dan terus mendoakan kemenangan rakyat Palestin dalam menentang kezaliman Israel," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri itu menambah, Anwar telah lama dan konsisten dalam memperjuangkan solidariti terhadap Palestin sejak beliau memimpin ABIM pada 1970an lagi.
Katanya, sosok tubuh itu komited membawa perjuangan tersebut di pentas antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan daripada tokoh tokoh pejuang Palestin.
"Keakraban beliau berdekad lamanya bersama pemimpin Palestin sejak zaman Yasser Arafat, Mahmud Abbas sehingga ke era Ismail Haniyeh sudah diketahui dunia.
"Malah, Anwar pernah dinamakan sebagai ‘Anak Palestin’ oleh Yasser Arafat atas kelantangan beliau membawa perjuangan itu di peringkat global.
"Ketika berada di Riyadh, Arab Saudi beberapa hari lalu, Anwar juga telah mengusulkan agar Israel disingkirkan daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Langkah berani itu dilakukan secara terbuka dan jelas membuktikan pendirian tegas beliau terhadap dasar penindasan yang dilakukan oleh Israel," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Cabang KEADILAN Bandar Tun Razak itu berkata, pemimpin negara Arab dan Islam turut memberikan sokongan padu kepada Anwar yang menggesa agar membantu membina semula Gaza yang telah musnah.
Pada 15 November lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil memaklumkan, wawancara Anwar mengenai konflik Israel-Palestin dengan CNN telah disunting pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri, iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.
Susulan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneliti dan membuat siasatan terhadap penularan video berunsur fitnah berkenaan.
Comments