Peranan pembangkang yang baik amat diperlukan oleh sebuah negara yang bertamadun.
Bagi Setiausaha Politik Presiden KEADILAN, Datuk Romli Ishak, Pakatan Harapan (PH) pernah menjadi pembangkang dalam tempoh yang lama, dua dekad.
Namun katanya, pembangkang pada waktu itu amat efektif dan produktif. Pembangkang mengemukakan solusi, bajet alternatif dan sebagainya yang membantu kerajaan dan menyediakan perbandingan kepada rakyat.
"Saya rasa ketika kita (PH) jadi pembangkang, kita sangat produktif dan efektif
"Ketika kita jadi pembangkang dulu, kita mulakan bajet alternatif (sejak 1999), kabinet bayangan. Kita lakukan setiap tahun. Bila kita bentang (bajet), kita bentang sebelum kerajaan bentang.
"Kerajaan boleh ambil atau tak ambil, itu terpulang. Maknanya ada ruang alternatif kepada kerajaan dan kepada rakyat untuk menilai
"Kita hasilkan manifesto yang baik, pernah ada Buku Jingga. Kita sain MoU (persefahaman) dengan kerajaan untuk stabilkan kerajaan (pada Ogos 2021). Itulah pembangkang yang baik," katanya dalam program Berani Semuka "Reformasi atau Reformati" di Iswardy Morni Official malam tadi.
Malangnya, kata Romli, pembangkang PN pada waktu ini lebih memilih untuk memainkan sentimen picisan perkauman dan agama sempit.
Katanya, rakyat sepatutnya sedar ke arah mana pembangkang berjuang dan sewajarnya tidak menyokong perjuangan yang akan merosakkan negara.
"Bagi saya pemimpin perlu ada idea, dasar, bukan bahas soal peribadi orang.
"Pembangkang hari ini bincang soal peribadi, bangsa orang, pada saya itu bukan kualiti pembangkang (yang diharapkan)
"Sedangkan (ahli politik) pembangkang bukan calang calang orang. Pernah jadi menteri kabinet, Timbalan Perdana Menteri, pernah memenuhi kerusi kerajaan, hampir sebahagian besar pernah jadi menteri. Bersatu, Pas dan Gerakan pernah jadi menteri.
"Sepatutnya mereka ini sangat produktif untuk menegur kerajaan. Kita harapkan idea segar datang dari pembangkang," katanya.
Tambah Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, pembangkang PN pada waktu ini tidak sepatutnya membantah polisi baik yang dibawa kerajaan.
Ujarnya, jika tidak menyokong perkara baik yang dibuat maka jangan bersikap menentang semua benda dengan alasan musuh politik.
"Bukan kita suruh kawan dengan kerajaan, tetapi jangan jadi pembangkang tolak semua. Benda baik kena akui, benda tak baik kena tegur.
"Jangan benda baik pun kamu belasah. Naik gaji (kakitangan awam) hentam, turun harga telur dihentam, kita lawan penyeludup diesel pun ditentang," katanya lagi.
Comments