Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad memberi amaran bahawa ada pihak tertentu akan terus memainkan retorik "Islam terancam" untuk meraih sokongan politik terutama orang Melayu.
Perkara itu dinyatakan Nik Nazmi menerusi satu ciapan di laman X, sebagai merujuk serangan politik terhadap Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
"Kali ini buku Hannah Yeoh dan sambutan perayaan Nga Kor Ming menjadi isu.
"Maka orang lain akan melihat seolah-olah ini Islam, sedangkan ia tidak lain dan tidak bukan taktik lapuk membakar sentimen bila habis modal politik," katanya dipetik.
Pembangkang sebelum ini menyasarkan Kor Ming susulan persembahan nyanyian lagu “Jingle Bells” – lagu tentang kegembiraan menaiki kereta luncur di salji – dan lagu “We Wish You a Merry Christmas.” di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.
Kor Ming mempertahankan acara tersebut sebagai cerminan hormat-menghormati dan keharmonian dalam kalangan kakitangan kementerian selari aspirasi MADANI menekankan keharmonian, perpaduan, dan kestabilan masyarakat.
Beliau turut menegaskan mereka yang terlibat dalam sambutan itu adalah mereka yang beragama Kristian dari Sabah, yang berketurunan Kadazan selain petugas dari Sarawak.
Manakala Hannah diserang susulan buku berjudul 'Becoming Hannah: A Personal Journey' yang diterbitkan sejak 2014 yang disifatkan pembangkang sebagai bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Sebagai rekod, Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan pada satu prosiding di Mahkamah Tinggi pada Julai lalu bersetuju dengan cadangan peguam Razlan Hadri Zulkifli bahawa tiada bukti dokumen menunjukkan Hannah mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Comments