top of page

Pembangkang Gagal Faham, Kritik Isu Sama Belanjawan Selangor 2025



Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil


ULASAN: Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor terus mengkritik Belanjawan Selangor 2025 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dengan melemparkan slogan “Selangor Deserves Better!”.


Perkara pokok yang dibangkitkan oleh pembangkang termasuklah peningkatan pembayaran emolumen, belanja pembangunan yang lebih rendah ketimbang belanja mengurus dan isu pengurusan banjir. Pada hemat pembangkang, Kerajaan Madani Selangor telah gagal menawarkan belanjawan yang terbaik untuk rakyat negeri itu walaupun pada hakikatnya pembangkang di DUN Selangor tidak menyediakan sebarang belanjawan alternatif bagi menyaingi Belanjawan Kerajaan Madani Selangor.


Tuduhan tersasar realiti


Berkenaan isu peningkatan pembayaran emolumen dalam Belanjawan Selangor 2025 berbanding tahun sebelumnya, Ketua Pembangkang iaitu Dato' Seri Mohamed Azmin Ali membangkitkan isu pertambahan penjawat awam di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Malah turut dibangkitkan persoalan sama ada kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertambahan penjawatan tersebut telah diluluskan.


Namun hakikatnya tuduhan oleh Ketua Pembangkang DUN Selangor tersebut jauh tersasar daripada realiti, sebenarnya pertambahan emolumen yang berlaku dalam Belanjawan Selangor 2025 berlaku akibat pelarasan gaji yang meliputi 26 jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang menyaksikan kenaikan gaji lapan peratus bermula Disember 2024.


Kenaikan emolumen tersebut termasuk kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga peratus untuk penjawat awam negeri, justeru tidak berlaku sebarang pertambahan penjawat awam secara tidak perlu dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor menjelang tahun 2025 seperti yang dipersoalkan oleh Ketua Pembangkang DUN Selangor.


Belanja pembangunan bertambah RM100 juta


Perkara seterusnya yang dibangkitkan oleh pembangkang terkait Belanjawan Selangor 2025 adalah tentang belanja pembangunan yang lebih rendah daripada belanja mengurus. Kerajaan Madani Selangor telah memperuntukkan 56.7% untuk perbelanjaan mengurus dan 43.3% untuk perbelanjaan pembangunan.


Seharusnya pembangkang perlu mengakui bahawa berlaku pertambahan sebanyak RM 100 juta untuk perbelanjaan pembangunan tahun 2025 berbanding 2024, pertambahan tersebut adalah signifikan dengan pertambahan beberapa inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang. Situasi ini tidak jauh bezanya seperti apa yang telah dilakukan oleh Dato' Seri Mohamed Azmin Ali semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2015 di mana 53.19% di peruntukan kepada perbelanjaan mengurus dan 46.81% diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan.


Berlaku peningkatan kepada perbelanjaan mengurus pada tahun 2015 kerana Peruntukan Ahli Dewan Negeri dan Penyelaras Parlimen/ DUN telah ditingkatkan demi meningkatkan khidmat kepada rakyat. Perkara yang sama turut berlaku dalam Belanjawan 2025 apabila elaun/ gaji penjawat awam, pengurusan komuniti kampung, dan jawatankuasa/ petugas masjid ditingkatkan menyebabkan perbelanjaan mengurus terpaksa ditingkatkan.


RM883 juta urus banjir


Isu terakhir yang dibangkitkan oleh pembangkang berkenaan Belanjawan Selangor 2025 adalah berkenaan isu pengurusan banjir, pembangkang mendakwa kerajaan negeri pada masa kini tidak mempunyai penyelesain yang jelas dan tiada penghujung terkait isu banjir. Pembangkang turut mendakwa bahawa kerajaan negeri hanya bergantung kepada infrastruktur negeri sedia ada dan memberi peruntukan yang sangat kecil untuk mengatasi masalah banjir.


Namun hakikatnya Kerajaan Madani Selangor telah memperuntukkan RM 883 juta di bawah Teras 2 di dalam Belanjawan Selangor 2025 bertemakan “Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan Dan Infrastruktur Berkualiti”. Melalui peruntukkan tersebut usaha untuk membaikpulih cerun, pemulihan loji rawatan air dan pembinaan infrastruktur pengepaman air dapat dibangunkan. Kesemua projek yang dinyatakan ini dibangunkan secara selari di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1), hasil keseluruhan infrastruktur ini akan dapat dilihat secara berkesan dan menyeluruh mejelang tahun 2025 setelah tamat RS-1.


Seharusnya pembangkang di DUN Selangor membangkitkan isu yang lebih signifikan apabila mengkritik Belanjawan Selangor 2025, memainkan isu lapuk seperti banjir yang telah dijawab berulang kali oleh pentadbiran Kerajaan Madani Selangor adalah satu usaha yang dangkal untuk memburukkan imej kerajaan semasa.


Sekurang-kurangnya pada tahun 2024 lalu, pembangkang berjaya membawa belanjawan alternatif dengan tema ‘Selangor Baru’. Walaupun belanjawan alternatif tersebut hanya mempunyai dua mukasurat, namun sekurang-kurangnya masih ada satu belanjawan alternatif untuk dibandingkan dengan belanjawan Kerajaan Madani Selangor.



Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page