Pemandu Grab direman: Pemandu tidak boleh pilih penumpang - Bryan Ng
- Suara Keadilan
- Apr 11
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pihak kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) diseru untuk menyemak semula prosedur siasatan terhadap pemandu e-hailing agar kejadian melibatkan golongan itu baru-baru ini, tidak berulang lagi.
Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin juga menyeru syarikat e-hailing seperti Grab untuk mempertimbangkan menubuhkan unit khas 24 jam bagi memberi bantuan perundangan sekiranya para pemandu mereka menghadapi masalah.
Beliau berkata, penubuhan unit itu adalah untuk memberi bantuan undang-undang segera kepada pemandu yang menghadapi masalah penahanan polis atau isu berkaitan perundangan.
Katanya, pada 8 April lalu beliau telah menerima satu panggilan meminta bantuan guaman dan dimaklumkan bahawa sekitar jam 10 malam, seorang pemandu Grab telah ditahan dan direman oleh pihak polis.
''Penahanan itu berlaku selepas seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes kecurian mercun di USJ, Subang telah menggunakan perkhidmatan Grab dan menaiki kenderaan pemandu tersebut.
''Pada keesokan harinya (9 April), saya hadir ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk mewakili pemandu dalam prosiding permohonan reman. Saya terkejut apabila pihak polis memohon reman selama 6 hari, walaupun pemandu tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan langsung dengan jenayah yang berlaku.
''Hasil hujahan saya di mahkamah, tempoh reman telah dikurangkan kepada 2 hari, dan pemandu tersebut telah dibebaskan pada pagi ini.
''Persoalannya, mengapa masih wujud keperluan untuk menahan dan memohon reman yang hampir maksimum terhadap individu yang jelas tidak bersalah?
''Tindakan itu tidak wajar dan boleh dianggap sebagai satu bentuk penindasan terhadap rakyat biasa,'' katanya menerusi satu kenyataan di laman sosial milik beliau.
Katanya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku kerana pemandu e-hailing tidak dibenar memilih penumpang dan tidak tahu seorang pencuri sedang melanggan perkhidmatan mereka. Apatah lagi bersubahat dengan pencuri berkenaan sehingga ditahan reman untuk siasatan.
"Dalam aplikasi Grab, penumpang tidak boleh memilih pemandu, dan pemandu juga tidak mempunyai pengetahuan awal tentang siapa penumpang mereka.
"Pemilihan adalah automatik dan ditentukan sepenuhnya oleh sistem aplikasi. Maka secara logik dan jelas, pemandu tersebut tidak mempunyai sebarang kawalan mahupun pengetahuan tentang penumpangnya yang disyaki penjenayah," katanya.
Dalam pada itu, Bryan yang juga Ahli Majlis Petaling Jaya menyifatkan pemandu e-hailing merupakan tulang belakang kepada ekonomi digital negara.
Beliau berpandangan, golongan itu seharusnya diberikan perlindungan sewajarnya dan bukan menjadi mangsa kepada kelemahan sistem.
''Perkara yang sama juga akan berlaku kepada mana-mana pemandu tidak kira bangsa dan agama.
''Kami tidak boleh mengambil ringan terhadap isu ini,'' ujarnya lagi.
Comments