
Oleh: Hasbul Ahmad
Langkah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) melesen dan mendaftarkan platform media sosial adalah usaha penting bagi mengelakkan Malaysa menjadi “Scam Hub”.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata wujud kebimbangan sekiranya Malaysia menjadi pusat penipuan siber atau 'scam hub', di tengah kebimbangan mengenai peningkatan jenayah dalam talian di rantau ini.
"Masalah berlaku kepada kita apabila pemilik akaun penipuan siber ini mengikrarkan platform mereka di Malaysia dan membuat bayaran iklan kepada pengendali platform seperti Meta di Amerika Syarikat.
"Asalkan yuran (fee) itu dibayar, maka iklan atau promosi dibenarkan, sedangkan mana-mana iklan dan promosi perlu pertangungjawaban.
"Dalam masa yang sama algoritma iklan adalah bebas dan boleh memperdaya pengguna internet," kata Jimmy Puah ketika dihubungi.
Beliau yang juga merupakan seorang peguam memaklumkan telah banyak menerima aduan berhubung kes jenayah siber, antaranya peluang kerja tidak wujud di Thailand dan penipuan pakej ibadat umrah serta haji.
Tambah beliau, orang ramai perlu memahami bahawa langkah SKMM bukan sekatan kebebasan bersuara seperti dikatakan beberapa pihak tetapi mengenai kawalan terhadap isu keselamatan internet dan kewangan pengguna.
"Rakyat Malaysia mengalami kerugian bernilai ratusan juta ringgit setiap tahun.
"Maka kita kena kawal keadaan ini dan beri tekanan kepada pengendali platform seperti Meta untuk membenarkan pelesenan," ujarnya lanjut.
Sebelum ini berdasarkan statistik dikeluarkan MCMC berkaitan "eksploitasi seksual kanak-kanak, scam dan buli siber" menunjukkan peningkatan besar aduan jenayah scam daripada tahun 2022 yang mencatat 2,675 kes kepada 4,180 kes pada 2023.
Jenayah itu dapat dicegah dengan pindaan ke atas Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), iaitu seksyen 233A, Larangan Penghantaran Pesanan Elektronik Komersial Tanpa Diminta.
Diharapkan dengan penguat kuasaan seksyen baharu ini akan mengurangkan jenayah scam dalam kalangan pengguna media sosial.
Comments