
Oleh: Hasbul Ahmad
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan pelesenan media sosial mampu membanteras pemalsuan identiti atau penyamaran identiti bagi pendaftaran akaun media sosial baru.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj berkata melalui pelesenan pengguna atau pelanggan media sosial seperti syarikat dan perniagaan perlu mendaftarkan institusi mereka menggunakan dokumen pengenalan rasmi.
"Sebab sekarang ini akaun palsu terlalu banyak. Maka, pelesenan media sosial adalah langkah yang baik untuk membanteras pendaftaran akaun palsu.
"Selain itu, akaun baru daftar pada platform media sosial perlu disahkan oleh pemilik individu. Ini dapat menghalang jenayah siber," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia (CSM), kes kecurian data di Malaysia menunjukkan angka membimbangkan iaitu sebanyak 646 insiden pada tahun 2023 berbanding hanya dua angka pada tahun 2022.
Jumlah insiden pelanggaran (kecurian) data membabitkan organisasi dan individu yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 itu meningkat berkali ganda daripada hanya 50 kes pada 2022 dan 91 kes pada 2021.
Berdasarkan statistik CSM, pelanggaran data adalah insiden keselamatan siber kedua tertinggi yang dilaporkan daripada keseluruhan 5,917 kes pada 2023, selepas jenayah penipuan yang mencatatkan 3,705 kes.
Trend sama dapat dilihat pada tiga bulan pertama tahun 2024 apabila sebanyak 142 insiden pelanggaran data dilaporkan.
Berdasarkan trend itu, CSM menjangkakan kes kecurian data akan terus meningkat jika tiada langkah menanganinya diambil.
Justeru itu kata Yuneswaran, kerajaan perlu mengambil tanggunjawab dan menyediakan penguatkuasaan undang-undang bagi mengawal kemungkinan jenayah siber susulan banyak aduan yang dikemukakan oleh pengguna media sosial.
"Saya ingin memberikan contoh. Jika berlaku sesuatu isu dalam pentadbiran majlis perbandaran seperti isu pelesenan perniagaan, atau pun isu sisa pepejal yang tidak diuruskan di tepi jalan, kebiasaannya orang ramai akan membuat aduan kepada pihak berkuaa tempatan (PBT).
"Perkara ini adalah sama juga kepada isu jenayah siber. Jika mangsa membuat aduan kepada pihak berkuasa maka kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi pengguna.
"Jadi tidak patut ada isu mengatakan bahawa kerajaan ingin menyekat kebebasan bersuara atau berekspresi. Lebih membimbangkan dengan kewujudan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya. Potensi berlakunya jenayah sentiasa ada terutamanya kepada mereka yang kurang celik IT," kata Ketua Penerangan KEADILAN Johor itu lagi.
Tegas Yuneswaran, meskipun pelesenan media sosial tidak akan dapat menyelesaikan semua masalah jenayah siber dalam masa terdekat namun sekurang-kurangnya kerajaan telah memulakan langkah yang baik untuk mengekang jenayah tersebut.
Commentaires