Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan menetapkan pelbagai strategi bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) sebagai sumber penjanaan bekalan elektrik utama di Malaysia.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ketika ini kerajaan telah melaksanakan beberapa program untuk memantapkan pelan TBB tersebut.
"Bagi kategori pengguna komersial dan industri, pemasangan sistem solar PV boleh dilakukan di bangunan dan premis mereka di bawah Program Net Energy Metering (NEM) NOVA.
"Program ini membolehkan pengguna menjana bekalan elektrik TBB untuk kegunaan sendiri dan mengeksport lebihan tenaga kepada sistem grid sebagai kredit tenaga dan layak menikmati insentif pelepasan cukai di bawah skim Green Investment Tax Allowance (GITA)," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Bagi kategori pengguna domestik pula, kata beliau, pemasangan sistem solar PV boleh dilakukan melalui program Net Energy Metering (NEM) Rakyat untuk menggalakkan lebih banyak pemasangan solar PV.
"Melalui Program Solar For Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) pengguna yang menyertai program NEM Rakyat layak mendapat insentif rebat sebanyak RM1,000/kWj sehingga RM4,000 seorang mulai 1 April 2024 lalu," ujarnya.
Selain itu, Akmal berkata, beberapa program termasuk Green Electricity Tariff Programme, Malaysia Green Attributes Trading Scheme, Corporate Green Power Programme dan juga Corporate Renewable Energy Supply Scheme diperkenalkan untuk meningkatkan penggunaan serta akses kepada bekalan TBB tersebut.
"Pelaksanaan strategi dan program pembangunan TBB ini dijangka akan meningkatkan campuran kapasiti TBB dalam pembekalan elektrik negara kepada 40% menjelang tahun 2035 dan 70% menjelang tahun 2050," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai usaha kerajaan menggalakkan penglibatan swasta dalam tenaga boleh diperbaharui dan sasaran kerajaan dalam jangka panjang.
Comments