Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa pemimpin muda dalam Kerajaan Perpaduan gagal menambat hati belia, adalah tuduhan tidak berasas dan bercanggah dengan fakta.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Mohd Afiq Ayob menegaskan, Kerajaan MADANI tidak pernah memandang ringan masalah yang dihadapi golongan belia di negara ini.
Katanya, pelbagai usaha sedang dan akan terus dirangka melibatkan kolaborasi rentas kementerian bagi memantapkan generasi muda di negara ini.
"Tumpuan utama adalah menyelesaikan masalah struktur seperti peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, dan pengurangan beban kos sara hidup.
"Sebagai pemimpin muda dalam kerajaan, YB Adam Adli dan rakan-rakan lain bekerja keras untuk memastikan suara dan keperluan belia sentiasa menjadi keutamaan," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, beliau turut memperincikan perjuangan dan usaha yang dilakukan Kerajaan MADANI terhadap golongan muda.
"Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menggambarkan realiti sebenar usaha Kerajaan MADANI hari ini dalam memperjuangkan hak dan aspirasi belia.
"Pertama, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Belanjawan MADANI 2025 telah memperuntukkan pelbagai inisiatif baharu untuk membantu golongan belia merentasi pelbagai kementerian.
"YB (Syed Saddiq) sendiri berada di dalam Dewan Rakyat ketika belanjawan ini dibentangkan. Jadi amat mengejutkan jika YB mendakwa bahawa isu belia tidak diberi perhatian sewajarnya.
"Kedua adalah berkenaan isu Permodalan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Perkara ini telah berulang kali dijelaskan oleh Adam Adli sendiri semasa sesi dialog bersama belia di seluruh negara.
"Adalah penting untuk memahami bahawa penyelesaian kepada isu ini memerlukan masa, perancangan teliti, dan keutamaan dalam memulihkan ekonomi negara," ujarnya lagi.
Menurut Mohd Afiq, Kerajaan MADANI memilih pendekatan yang bertanggungjawab, berbeza dengan janji populis yang sering menjadi retorik tanpa pelaksanaan konkrit.
Beliau menyifatkan, langkah kerajaan kini lebih berhati-hati bagi memastikan segala dasar yang dilaksanakan tidak akan membebankan negara pada generasi akan datang.
"Setiap manifesto yang dikemukakan oleh mana-mana parti perlu mengambil kira keadaan semasa negara. Tidak seperti pendekatan 'Umum dahulu, fikir kemudian' yang diamalkan oleh sesetengah pihak.
"Kerajaan MADANI memberi tumpuan kepada keberkesanan pelaksanaan dan Syed Saddiq juga sedar akan keadaan ekonomi dan politik negara ketika Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran.
"Malah beliau (Syed Saddiq) sendiri pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sebelum memilih untuk mengambil jalan 'third force' pada 2023," katanya.
Comentários