Pelbagai projek baharu untuk kesejahteraan rakyat Sarawak dikunjungi dalam lawatan kerja Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak sepanjang hujung minggu.
PM yang melawat ke daerah Kapit diberi taklimat oleh Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berhubung pembangunan Jambatan Baharu Yong.
Projek tersebut, katanya merangkumi pembinaan jalan berturap dan dua jambatan yang menghubungkan Jalan Ng Belawai Ke Jalan Song – Kapit serta menaiktaraf dua buah persimpangan. Projek pembinaan jambatan dan jalan tersebut dijadualkan bermula pada tahun 2025 dan dijangka selesai pada tahun 2029.
"Projek ini akan memberikan manfaat pembangunan sosio-ekonomi kepada penduduk di penempatan seberang Sungai Batang Rajang seperti di Ng Belawai dengan Bandar Kapit," kata PM dalam catatan di Facebook.
Dengan siapnya jambatan baharu itu kelak, katanya, penduduk yang sebelum ini menggunakan bot dan membahayakan nyawa akan lebih selesa menggunakan pengangkutan darat.
Sebelum itu, PM melawat tapak projek baharu pembangunan Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit dan Balai Polis Kapit anjuran Kementerian Dalam Negeri.
Dengan keluasan tapak seluas 45.64 hektar di Menuan Land District di Jalan Kapit ke Song, kata PM, projek terbabit bakal akan dilaksanakan dalam 2 fasa.
"Kompleks yang akan dibangunkan ini meliputi bangunan pentadbiran, kompleks persenjataan termasuk lapang sasar tertutup, dewan, pentas hormat dan padang kawad, kuarters, cawangan pengangkutan termasuk bengkel, surau dan lain-lain kemudahan. Projek ini akan dilaksanakan selama 5 tahun bermula tahun 2025 sehingga tahun 2029.
"IPD Kapit yang baharu ini akan menempatkan seramai 146 perjawatan termasuk pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam.
"Dengan adanya Kompleks IPD Kapit yang baharu ini, ia sekaligus dapat meningkatkan keberkesanan penugasan, memastikan ketenteraman awam serta keselamatan di daerah ini sentiasa terjamin, selain memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat daerah Kapit," katanya yang juga Menteri Kewangan.
PM berharap dengan siapnya projek IPD itu akan memberi manfaat kepada semua pegawai dan anggota PDRM di Kapit bagi meningkatkan kebajikan selain mengurangkan beban sara hidup kakitangan IPD.
Comments