Pelbagai isu dua hala dibincangkan pada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat dari Pakistan, Shehbaz Sharif di Islamabad.
Pada sidang media bersama Shehbaz di Kediaman Rasmi Perdana Menteri Pakistan itu, Anwar berkata Malaysia secara dasarnya bersetuju mengimport 100,000 tan metrik daging halal dari Pakistan dan beras basmati.
Anwar berkata, Malaysia dan Pakistan juga akan meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan tenaga kerja mahir terutama dalam bidang teknologi maklumat (IT), digital dan kecerdasan buatan (AI).
"Kami (delegasi Malaysia dan Pakistan) membincangkan pelbagai isu berkaitan kedua-dua negara termasuk zon ekonomi, isu perdagangan dan pasaran, dan lain-lain
"Tentang kolaborasi dan pekerja mahir, kita akan menanti-nantikan kerana kita akan fokus kepada pekerja yang diperlukan untuk memenuhi permintaan baharu, pelaburan yang besar, mungkin yang terbesar di kawasan ASEAN, dalam bidang IT, digital, dan AI.
"Alhamdulillah, Malaysia adalah salah satu hab penting bagi industri semikonduktor. Kami boleh berkolaborasi dalam bidang itu juga," katanya dipetik pada sidang media itu.
Untuk rekod, nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2023 berjumlah RM6.43 bilion, dengan eksport dari Malaysia (ke Pakistan) berjumlah RM4.39 bilion manakala import Malaysia dari Pakistan ialah RM2.04 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM2.34 bilion memihak kepada Malaysia.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan memaklumkan, nilai perdagangan yang direkodkan antara kedua-dua negara untuk tujuh bulan pertama tahun ini ialah RM5.10 bilion.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin juga menyaksikan majlis pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi kerajaan Malaysia dengan Pakistan.
*Foto kredit: Albarra Azfar/PMO
Commentaires