Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian kepada Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara.
KPM dalam kenyataan pada Selasa berkata, perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian KPM.
Malah menurut kementerian itu, pelbagai inisiatif penting sedang giat dilaksana pihaknya dalam mereformasi pendidikan negara.
"KPM komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya. Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak," kata kenyataan itu.
Antara yang sedang diusahakan termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, kurikulum persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
"Kelas prasekolah akan diperluas di seluruh institusi pendidikan dalam memastikan isu keciciran murid dapat ditangani daripada peringkat awal.
"Tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
"Terkini, KPM memperkenalkan platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru," menurut KPM lagi.
Comments