Oleh: Dr Madhi Hasan
ULASAN: Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah dipalu di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pada 12 Ogos nanti, pengundi-pengundi di enam buah negeri tersebut akan keluar mengundi buat kali kedua dalam tempoh sembilan bulan.
Persoalan yang bermain di kepala para penganalisis politik ialah adakah gelombang hijau pada PRU-15 akan melanda sekali lagi. Mampukah Perikatan Nasional (PN) mengekalkan sokongan majoriti pengundi-pengundi Melayu di negeri-negeri tersebut? Dalam PRU-15, hanya Negeri Sembilan sahaja yang tidak terkesan sama sekali dengan gelombang hijau.
Harold Wilson, bekas Perdana Menteri Britain pernah mengungkapkan kata-kata yang terkenal iaitu “seminggu dalam politik ialah satu tempoh yang lama”. Dengan sifat politik yang sentiasa dinamik, pelbagai perkara boleh berubah dalam masa seminggu, apatah lagi sembilan bulan.
Oleh itu, gelombang atau tsunami politik boleh sahaja surut atau hilang sama sekali. Siapa sangka gelombang biru yang membawa kemenangan bergaya kepada BN dalam PRN Melaka dan Johor boleh lenyap dalam masa tidak sampai setahun. Berikut adalah perkara-perkara yang boleh menghalang gelombang hijau pada PRN di enam buah negeri tidak lama lagi.
Pertembungan dua penjuru
Pada tahun 2018, pertembungan tiga penjuru memberikan keuntungan yang besar kepada Pakatan Harapan (PH). Dalam PRU pada tahun lalu, PN pula lebih bernasib baik akibat fenomena yang dipanggil spoiler effect yang terhasil dalam perlawanan tiga penjuru.
Dalam PRN nanti, medan pertembungan akan kembali kepada dua penjuru sepertimana yang berlaku dalam sistem dua parti. Senario ini bukanlah baharu kerana kita pernah menyaksikannya sewaktu pertembungan antara BN dan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan 2013.
Buat pertama kalinya, PH dan BN bermuafakat untuk menewaskan PN melalui kaedah ‘electoral pact’ (pakatan pilihan raya). Tujuannya ialah bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan membolehkan PH dan BN bekerjasama dalam melakukan vote pooling (kongsi undi).
Electoral pact adalah sememangnya strategi asas untuk menang dalam pilihan raya yang menggunakan sistem “first past the post” seperti di Malaysia. Ia telah terbukti berkesan selama puluhan tahun, kerana jika tidak sudah tentulah PN tidak akan bersungguh-sungguh mengajak UMNO untuk bermuafakat satu ketika dahulu.
Sekiranya gerak kerja vote pooling antara PH dan BN berjalan dengan baik, amatlah sukar untuk PN mengatasi strategi kongsi undi tersebut. Ini kerana PN hanya bergantung kepada segmen pengundi Melayu semata-mata sedangkan PH-BN memiliki sokongan rentas etnik.
Walau bagaimanapun, sudah tentulah tidak mungkin kesemua seratus peratus pengundi PH dalam PRU-15 lalu akan memindahkan undi kepada BN dan begitu jugalah sebaliknya. Bagi negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, andainya vote transferability (kadar pemindahan undi dari pengundi PH kepada BN dan sebaliknya) hanya berlegar di sekitar 70% hingga 80%, ianya sudah memadai bagi memberikan kemenangan selesa kepada PH-BN.
Berdasarkan keputusan PRU-15, PN hanya kelihatan selamat di negeri-negeri Pantai Timur dan akan menghadapi laluan sukar di negeri-negeri Pantai Barat yang mempunyai pengundi berbilang kaum. Dalam PRU-15 yang lalu, andainya undi yang diperolehi oleh PH dan BN digabungkan, PN sepatutnya kalah teruk di kesemua sembilan kerusi Parlimen yang dimenanginya di Selangor dan Pulau Pinang. Peluang PN di Negeri Sembilan adalah jauh lebih kelam manakala Kedah pula berada dalam kedudukan 50-50, dengan syarat UMNO dan PH dapat memperkemaskan jentera masing-masing.
Oleh itu, cakap-cakap daripada kepimpinan Bersatu meramalkan kemenangan PN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah tidak lebih daripada propaganda dan perang saraf. Bersatu seolah-olah terdesak untuk menerajui kerajaan Selangor, iaitu satu-satunya negeri yang agak munasabah untuk diletakkan pengharapan bagi Bersatu. Jika tidak, Bersatu akan terus dibayangi oleh Pas yang pada hakikatnya adalah parti paling dominan dalam PN.
Faktor PMX
Pemimpin-pemimpin Pas dan Bersatu tanpa segan silu membayangkan yang PRN ini adalah merupakan wasilah atau jalan bagi menumbangkan Perdana Menteri melalui pintu belakang. Bagaimana proses itu boleh berlaku tidak pula dijelaskan kerana dari sudut kiraan matematik amatlah sukar untuk menumbangkan Perdana Menteri yang memiliki sokongan dua per tiga di Dewan Rakyat.
Dalam keadaan hampir semua kajiselidik mengesahkan populariti Perdana Menteri berada pada tahap yang tinggi, strategi PN tersebut mungkin akan memakan diri. Sebahagian besar pengundi akan terdorong untuk mengundi PH-BN demi memastikan Anwar Ibrahim terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri. Tambahan pula rakyat terbanyak mahu suhu politik nasional kekal stabil kerana sudah serik melihat Perdana Menteri Malaysia bertukar sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.
Jangan lupa bahawa Anwar Ibrahim hari ini bukan lagi seorang pemimpin pembangkang yang dulunya diperlekeh dengan ejekan ‘PM tepi’. Sejak mengangkat sumpah, Anwar Ibrahim telah mempamerkan tenaga dan dinamisme yang sukar dilihat pada mana-mana Perdana Menteri sebelumnya.
Sambutan ala-superstar yang diterimanya di pelbagai acara adalah fenomena yang jarang-jarang diperolehi oleh seorang pemimpin politik. Dengan pengalamannya sebagai bekas tokoh gerakan Islam, wacana yang dibawanya tentang Islam dan Malaysia Madani adalah tulen dan bukan dibuat-buat.
Dalam PRU-11 pada tahun 2004, Abdullah Ahmad Badawi yang baharu beberapa bulan menggantikan Dr Mahathir telah membawa kemenangan besar pada tahap landslide untuk BN. Setelah sekian lama di bawah cengkaman Dr Mahathir, rakyat Malaysia pada waktu itu merasa teruja untuk merasai angin pembaharuan yang segar di bawah Perdana Menteri baharu.
Sebagai Perdana Menteri baharu, adakah Anwar Ibrahim dapat mengulangi fenomena Abdullah Ahmad Badawi tersebut? Petunjuk ke arah itu mungkin ada tetapi hanya pengundi-pengundi di enam buah negeri yang akan menentukannya.
Kedudukan PH-BN sebagai peneraju kerajaan pusat
Dalam PRU-15 yang lalu, BN dan PN telah bertanding sebagai parti-parti yang berkuasa di Putrajaya manakala PH turun ke gelanggang sebagai pembangkang. Apabila kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO merosot, Pas dan Bersatu yang merupakan parti-parti yang berkuasa dianggap sebagai alternatif kepada UMNO. Perkara ini dipengaruhi oleh psikologi pengundi Melayu yang secara umumnya lebih menghormati dan mempercayai pihak yang berkuasa.
Kedudukan PN sebagai sebahagian daripada kerajaan pada waktu itu turut memberikannya kelebihan untuk memperkukuhkan senjata 3M iaitu Money, Media and Machinery (Wang, Media dan Jentera). Teka-teki tentang kekuatan dana pilihan raya yang dimiliki oleh PN dalam PRU-15 akhirnya terjawab apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjumpai dan membekukan dana berjumlah ratusan juta ringgit di dalam akaun bank milik Bersatu. Pada PRU-15, kombinasi antara kekuatan dana yang dimiliki oleh Bersatu dan kelicinan jentera pilihanraya Pas telah mampu mengatasi kekuatan 3M yang dimiliki oleh BN sejak sekian lama.
Dalam PRN yang akan datang, PH-BN akan memiliki aura, kuasa dan pelbagai kemudahan sebagai peneraju kerajaan pusat manakala PN pula sudah hilang kelebihan sebagai parti pemerintah yang dimilikinya dahulu. Bagi pengundi-pengundi yang pragmatik, mereka pastinya lebih selesa memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat supaya perkembangan politik dan ekonomi akan lebih aman dan lancar.
PN akan berdepan laluan sukar untuk menandingi PH-BN yang sedang menguasai tampuk kuasa kerajaan pusat terutamanya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Namun begitu, PN juga mempunyai sedikit kelebihan di Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai kerajaan caretaker.
Isu integriti
Dalam PRU-15, BN telah diserang dari kiri dan kanan berkenaan isu integriti yang membabitkan skandal 1MDB dan lain-lain kes rasuah. Kempen anti-rasuah yang pada mulanya dipelopori oleh PH akhirnya memberi keuntungan yang besar kepada PN. Sebahagian penyokong-penyokong UMNO dan pengundi-pengundi atas pagar telah mengalihkan sokongan kepada PN yang dilihat lebih bersih.
Pada hari ini, persepsi yang dibina tentang kebersihan dan kemurnian PN sudah tidak lagi boleh dipertahankan sebagaimana pada PRU-15. Ini berikutan beberapa pendakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas Muhyiddin Yassin, Wan Saiful Wan Jan dan beberapa orang lagi pemimpin-pemimpin Bersatu, ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan mereka. Kini status istimewa sebagai ‘kluster mahkamah’ bukan lagi terbatas kepada tokoh-tokoh BN tetapi sudah merangkumi Muhyiddin Yassin dan lain-lain pemimpin PN.
Sewaktu pentadbiran Muhyiddin Yassin, darurat telah diisytiharkan dari bulan Januari hingga Julai 2021 dengan alasan-alasan yang penuh kontroversi. Pemerintahan darurat telah membuka ruang yang besar untuk berlakunya rasuah dan ketirisan kerana Parlimen tidak dapat melaksanakan proses semak dan imbang. Pada 6 Jun yang lalu, ahli-ahli Dewan Rakyat daripada PN membantah dan memboikot daripada membahaskan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021. Ini menimbulkan persoalan tentang setakat mana wakil-wakil rakyat PN benar-benar konsisten dalam menghayati prinsip anti-rasuah.
Pas sebagai parti yang menjuarai naratif moral dan agama turut tidak terlepas daripada isu integriti. Warga maya menjadi kecoh apabila tular video yang menunjukkan beberapa orang pengundi di Kelantan diminta bersumpah untuk mengundi Pas sebelum diberikan wang. Pada 27 Jun yang lalu, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan yang amalan membeli undi terbukti wujud dalam kempen Pas sehingga membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Pas bagi kawasan Kuala Terengganu.
Dalam PRN nanti, PN akan menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pengundi-pengundi yang mereka adalah lebih bersih daripada PH dan BN. Setakat ini, tidak ada Perdana Menteri yang hampir setiap hari bercakap tentang rasuah secara terus terang dan tegas selain daripada Anwar Ibrahim. Apabila rakyat terbanyak mula menyukai obsesi Perdana Menteri dalam melawan rasuah, maka naratif anti-rasuah yang dibawa oleh PN akan menjadi tidak relevan lagi.
Gelombang hijau terhalang
Selain daripada empat perkara yang dinyatakan di atas, ada beberapa faktor lagi yang boleh menghalang gelombang hijau pada kali ini. Segmen pengundi yang berpotensi memberi ancaman senyap kepada gelombang hijau ialah pengundi muda yang berusia antara 18 hingga 30 tahun. Dalam PRU-15, PH telah mengambil mudah terhadap usaha mendekati pengundi muda dengan anggapan bahawa pengundi muda akan sentiasa bersama PH. Akibatnya PN berhasil meraih sokongan majoriti pengundi muda Melayu dengan menggunakan strategi media sosial yang lebih berkesan.
Namun begitu, tidak ada satu pihak boleh mendakwa yang mereka akan membolot sokongan pengundi muda kerana undi pengundi muda tidak terikat dengan kesetiaan kepada mana-mana parti. Semua penganalisis politik mengakui bahawa arah sokongan pengundi muda adalah dinamik dan akan berubah-ubah mengikut keadaan.
Pada PRN kali ini, PH-BN pastinya sudah menyedari kesilapan lalu dan akan memberi fokus kepada kempen media sosial secara lebih tersusun. Anwar Ibrahim sendiri turun mendekati golongan muda secara agresif melalui siri program Temu Anwar di universiti-universiti. Program Temu Anwar ternyata mempunyai impak besar dari segi politik sehingga menimbulkan bantahan daripada beberapa orang pemimpin pembangkang.
Akhir sekali, harus diingat bahawa pilihan raya negeri adalah berbeza dengan pilihan raya umum. Dalam sesuatu PRN fokus perbincangan lebih tertumpu kepada kerajaan negeri, bukannya kerajaan pusat. Oleh itu, perkara-perkara berkenaan prestasi kerajaan negeri, isu pembangunan yang perlahan, isu tanah dan masalah bekalan air, isu pembalakan, isu perlaksanaan undang-undang Islam, isu prestasi pihak berkuasa tempatan, dan lain-lain perkara yang berada dalam bidangkuasa kerajaan negeri seharusnya diketengahkan untuk pertimbangan pengundi.
Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri daripada Pas seringkali menyalahkan kerajaan pusat apabila mereka gagal melaksanakan apa yang telah dijanjikan. Kali ini alasan-alasan sedemikian sukar diterima oleh rakyat kerana Pas adalah sebahagian daripada kerajaan pusat selama hampir tiga tahun. Dalam tempoh itu, Pas gagal untuk menghapuskan segala halangan bagi melaksanakan apa-apa agendanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam PRN ini, isu-isu kerajaan negeri sepatutnya diangkat sebagai fokus utama bagi membenamkan isu-isu yang menunggang sentimen kaum dan agama.
__________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor
Comments