Kerajaan dijangka memuktamadkan kadar pencen di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi golongan pesara dalam masa terdekat.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu kini sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat depan.
"Kita tengah perhalusi, minggu hadapan kita akan bawa balik ke Kabinet dan kita akan putuskan," katanya dipetik selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) ke-9 di Putrajaya pada Sabtu.
Pada 31 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pesara kerajaan akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.
Pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 2024 Ogos lepas berkata pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusannya yang dinikmati oleh penjawat awam yang sedang berkhidmat, melalui dua fasa.
コメント