Oleh: Akmal Manaf
Semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Negeri Sabah dan proses pelantikan pemimpin tertinggi negeri yang telah dijalankan mengikut undang undang tanpa mempolitikkan perkara berkenaan.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin berkata, KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan beberapa pihak yang menyebarkan berita palsu memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman.
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Sabah berkata, berita palsu mendakwa pelantikan Musa Aman adalah perancangan Datuk Seri Anwar untuk mengangkat Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud sebagai Ketua Menteri pada masa hadapan merupakan langkah terdesak pihak yang ingin melaga lagakan KEADILAN dan parti parti komponen Kerajaan Perpaduan di negeri di bawah bayu itu.
"Di samping itu, KEADILAN Sabah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim yang telah berkenan menyampaikan Surat Cara Perlantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Tun Musa Aman dan seterusnya pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara di Istana Negara.
"KEADILAN Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Juhar Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah," kata Razeef dalam satu kenyataan.
Pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
Laskar siber pembangkang membuat pelbagai dakwaan yang mempersoalkan kewajaran Musa yang kontroversi itu dilantik ke jawatan berkenaan.
Tidak kurang mereka mengecam Perdana Menteri kerana mengkesampingkan reformasi institusi dalam pelantikan berkenaan.
Bagaimanapun pelantikan Musa adalah memenuhi syarat Perlembagaan Negeri Sabah dan nama yang dihantar oleh parti komponen dalam kerajaan campuran perlu diterima oleh Perdana Menteri untuk dilantik.
Comments