Pelantikan Senator Fuziah Salleh sebagai Setiausaha Agung KEADILAN pertama dari kalangan wanita diharap akan menyuntik semangat bekerja lebih kuat kepada anggota wanita parti.
Menurut Exco Wanita KEADILAN, Siti Norffinie Yassin, pelantikan itu juga merupakan satu pengiktirafan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas kebolehan wanita dalam mengurus organisasi.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Senator Fuziah Salleh yang telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat dan buat pertama kalinya berlaku pelantikan dari kalangan wanita yang telah diumumkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam
"Pelantikan ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan besar terhadap kepimpinan serta komitmen Senator Fuziah dalam menjalankan amanah.
"Semoga pelantikan Fuziah ini akan melonjakkan lagi aktivisme reformasi serta memberi semangat dan contoh teladan kepada Wanita KEADILAN dalam mengangkat martabat rakyat keseluruhannya," kata Norffinie dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden KEADILAN di atas kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada golongan wanita dalam kepimpinan tertinggi parti.
"Ini adalah suatu langkah yang amat bermakna dalam memperkukuhkan kedudukan wanita dalam politik dan kepimpinan negara," katanya lagi.
Tidak lupa, ujar beliau, setinggi penghargaan kepada mantan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas khidmat cemerlang yang telah diberikan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan Setiausaha Agung sebelum ini.
Norffinie berharap KEADILAN akan berkembang maju di bawah kepimpinan setiausaha agung baharu.
Comments