Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara tanpa menafikan hak kaum lain di negara ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, melalui usaha terbaru di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35) kerajaan akan memastikan usaha tersebut mampu memberi manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.
"Hari ini kita akan berpeluang untuk diperkenalkan dengan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera, PuTERA35
sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.
"Pelan ini menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi MADANI iaitu pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara; kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi; dan ketiga, menegakkan keadilan sosial," katanya ketika berucap pada
Majlis Pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Putrajaya hari ini.
Rafizi berkata tahap sosioekonomi Bumiputera akan menjadi lebih maju dan makmur melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri High Growth High Value (HGHV), katanya.
"Harapan besar kita bersama adalah bahawa Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 akan melahirkan generasi Bumiputera yang positif, progresif dan inovatif sekali gus mampu bersaing bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat antarabangsa," katanya.
Razifi berkata berdasarkan data pada 2023, Bumiputera mewakili 70.1% daripada 30.4 juta warganegara Malaysia dengan sebanyak 22% dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.
Jelasnya semenjak enam dekad pelaksanaan pembangunan, pencapaian sosioekonomi Bumiputera pada hari ini, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak telah menunjukkan kemajuan.
Menurut beliau kemajuan telah dicatatkan dalam pelbagai aspek, sejajar dengan hasrat Dasar Ekonomi Baru
"Kemajuan ini termasuk dalam pembangunan bakat dan penyertaan dalam guna tenaga, peningkatan pendapatan, pemilikan ekuiti dan hartanah, serta peningkatan daya saing perusahaan Bumiputera," ujarnya.
Bilangan siswazah Bumiputera juga, kata beliau, meningkat daripada 2.7 juta pada 2016 kepada kira-kira 3.8 juta orang pada 2022.
Dengan peningkatan ini, peratusan siswazah Bumiputera dalam tenaga buruh telah bertambah dari 15.9% pada 2016 kepada
20.4% dalam tempoh yang sama.
Pada 2022, bilangan profesional Bumiputera dalam pelbagai bidang menunjukkan peratusan yang signifikan, antaranya perubatan (62%), arkitek (41%), perundangan (39%), perakaunan (32%) serta juru ukur bahan dan tanah (62%).
Pendapatan isi rumah kasar bulanan purata mengikut pekerjaan ketua isi rumah Bumiputera pada tahun 2022 pula adalah sebanyak RM7,599 berbanding RM172 pada tahun 1970, iaitu lebih daripada 40 kali ganda.
Berdasarkan statistik yang ada, nilai sumbangan pekerja Bumiputera telah meningkat daripada RM218.1 bilion pada tahun 2014 kepada RM294.3 bilion pada tahun 2018.
"Namun begitu, hakikat harus diterima, masih banyak ruang dan peluang untuk Bumiputera bangkit diperlukan supaya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan kita daripada kaum lain.
"Masih terdapat pelbagai isu yang membelenggu Bumiputera pada hari ini, seperti status sosioekonomi yang masih terperangkap
dalam kelas menengah dan sederhana serta penyertaan Bumiputera yang tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai
nilai ditambah yang rendah.
"Ini secara tidak langsung telah menyebabkan jurang pendapatan dan kekayaan antara etnik semakin melebar," katanya lagi.
Comments