Pelan Penyesuaian Nasional (MyNAP) dijangka siap tahun depan - Nik Nazmi
- Suara Keadilan
- Apr 8
- 1 min read

Malaysia menetapkan sasaran untuk melengkapkan Pelan Penyesuaian Nasional (MyNAP) menjelang tahun depan, dengan penekanan terhadap strategi penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelan itu penting bagi memperkukuh kapasiti dan ketahanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.
"Tahun depan, kami berharap dapat melengkapkan pelan penyesuaian kebangsaan.
"Pelan ini amat kritikal. Walaupun Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang akan datang merangkumi aspek mitigasi dan penyesuaian," katanya dipetik.
Nik Nazmi berkata begitu dalam sesi perbincangan bersama Pengerusi Majlis Climate Governance Malaysia, Dr Gary Theseira, sempena Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Nasional (NCGS) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun rang undang-undang perubahan iklim akan merangkumi kedua-dua mitigasi dan penyesuaian, banyak daripadanya akan memberi tumpuan kepada mitigasi.
Bagaimanapun penekanan yang lebih seharusnya diberikan kepada penyesuaian memandangkan perubahan iklim merupakan satu perkara yang nyata.
"Realiti perubahan iklim menuntut kita untuk memberi penekanan lebih kepada penyesuaian," tambahnya.
Sidang kemuncak yang bertemakan "Transition Finance: The Foundation of the Transition Economy" itu berlangsung dari 7 hingga 11 April, menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar global untuk membincangkan peranan kewangan peralihan dalam membentuk masa depan mampan di rantau ASEAN.
MyNAP bakal merangkumi strategi menyeluruh serta langkah-langkah konkrit bagi membantu negara menyesuaikan diri dengan impak perubahan iklim.
Comments