Kerajaan Madani sedang merancang dengan teliti pelan komprehensif pengangkutan awam darat melibatkan kawasan Pantai Barat Semenanjung, terutama di kawasan padat seperti Lembah Klang.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berbanding perancangan yang dilakukan kerajaan sebelum ini perancanan yang dilakukan adalah untuk memastikan rakyat selesa menggunakan pengangkutan yang mempunyai ketersambungan dan sanggup meninggalkan kenderaan peribadi mereka di rumah.
Pelan awal, katanya, telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1 Julai 2024 lalu.
"Kerajaan sedang mempertimbangkan peningkatan tiga aspek utama dalam pengangkutan awam: perkhidmatan bas, rangkaian rel, dan ketersambungan ‘first and last mile’ yang bersepadu.
"Untuk perkhidmatan bas, usaha akan meliputi pengembangan ketersambungan dan liputan, peningkatan ketersediaan dan konsistensi, serta memperkenalkan lorong khas bas bersama sistem Kuala Lumpur Autonomous Rail Transit (KL ART) dan Bus Rapid Transit (BRT).
"Rangkaian rel akan juga diperluas untuk meningkatkan perkhidmatan dan mempertingkatkan pengalaman penumpang.
"Selain itu, kerajaan akan menaik taraf hentian bas, laluan pejalan kaki, serta memperkenalkan Demand-Responsive Transit (DRT), perancang perjalanan bersepadu, dan pilihan mikromobiliti bagi memastikan ketersambungan yang lebih lancar dan cekap," katanya dalam kenyataan.
Selain itu tambah Rafizi, masalah kekurangan tren turut akan diatasi. Menurut beliau, Malaysia mempunyai landasan berkembar keretapi dari utara hingga selatan Semenanjung yang amat baik tetapi hanya 30% digunakan.
Kerajaan katanya, akan mempertingkatkan penggunaan keretapi untuk pengangkutan barangan dan manusia untuk mengelak kesesakan lebuh raya pada waktu ini.
"Bagi mencapai 80% penggunaan landasan keretapi di Semenanjung menjelang tahun 2030, Kerajaan merangka rancangan untuk meningkatkan perkhidmatan tren penumpang di Malaysia secara berfasa antara 2024 hingga 2030 dan mensasarkan jumlah tren penumpang yang beroperasi di seluruh negara mencapai 299 tren.
"Inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti dalam pelan ini akan dilaksanakan secara berperingkat, memastikan pendekatan yang teratur, selaras dengan matlamat ekonomi dan pembangunan negara. Usaha ini akan menjadi salah satu tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan," katanya.
Tegas Rafizi, sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja penting untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kelestarian alam sekitar tetapi juga merupakan pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi.
Katanya, sasaran telah ditetapkan dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019 - 2030 untuk mencapai 40% penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2030.
Comments