Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan melancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 hari ini bagi menghasilkan aktiviti perindustrian yang berteraskan bakat tempatan dan berkualiti tinggi.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan tersebut menetapkan empat misi bagi mentransformasikan perindustrian negara daripada teknologi sedia ada kepada berteknologi tinggi sebelum tahun 2030.
"Dalam tempoh tujuh tahun yang singkat, NIMP 2030 harus mengambil langkah pantas untuk mencapai matlamat tersebut.
"Selain itu, empat misi dirangka untuk memacu transformasi perindustrian," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran NIMP 2030 di Dewan Perdana, Menara MITI Kuala Lumpur, pagi tadi.
Jelasnya, misi pertama adalah untuk memajukan ekonomi dengan galakan inovasi penghasilan produk canggih untuk meningkatkan daya saing negara di pasaran global.
Misi kedua pula, kerajaan menfokuskan aspek teknologi dan digital bagi meningkatkan produktiviti dan inovasi untuk mencipta peluang pertumbuhan ekonomi baharu.
"Misi ketiga mensasarkan karbon sifar bersih (Net-Zero) bagi menangani perubahan iklim, manakala misi keempat menjaga keselamatan dan kepentingan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.
Selain itu, PM menegaskan, berbanding tiga pelan transformasi industri yang pernah diperkenalkan sejak 1986, NIMP 2030 mempunyai pengkhususan yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk wawasan negara.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelan itu merupakan sebahagian daripada kerangka Ekonomi MADANI yang mampu menghidupkan semula sektor pembuatan bagi memastikan negara kekal berdaya saing.
"NIMP 2030 direka untuk memacu Malaysia sebagai kuasa global dalam pembangunan industri, melebarkan hubungan domestik bagi mencipta kekayangan merentasi negara dan mengukuhkan kedudukannya dalam rangkaian nilai global.
"Pelan ini adalah bertepatan untuk mempercepatkan transformasi perindustrian di Malaysia, sejajar dengan usaha merealisasikan visi negara," katanya lagi.
Comments