top of page

Pelaksanaan undang-undang perlu difahami rakyat, elak cetus perasaan cemas, bimbang



Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sebarang pelaksanaan undang-undang termasuk membabitkan prinsip hak asasi perlu dipastikan dapat difahami oleh rakyat terlebih dahulu bagi mengelak tercetus perasaan cemas dan bimbang.


Perdana Menteri berkata inisiatif tersebut akan menerima tindak balas negatif sekiranya ia tidak dimulakan dengan perbincangan atau proses kesedaran dan pendidikan.


Merujuk usaha meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Berkaitan Penyingkiran Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 2018 lalu yang kemudian ditolak majoriti umat Islam di negara ini, beliau berkata, ianya bukan tentang prinsip atau tiada isu komitmen hak asasi manusia tetapi apabila elit politik memutuskan memperkenalkan undang-undang tanpa sebarang pertimbangan kepada pemahaman orang ramai, maka inisiatif tersebut akan mengakibatkan tindak balas negatif.


"Itulah sebabnya mengapa dalam Parlimen, apabila diperkenalkan, saya bangun dan berkata ia bukan pada dasarnya salah dengan cadangan itu, tetapi caranya dilanggar begitu sama seperti autoritarian.


"Anda mahu menegakkan prinsip yang sah tetapi anda tidak boleh langgar tanpa sebarang usaha, melakukan memupuk pemahaman yang lebih baik.


"Ia merupakan perkara yang selalu kita hadapi dalam kalangan elit, mereka fikir mereka tahu yang terbaik, mereka memaksa tanpa sebarang pertimbangan terhadap perasaan, kebimbangan dan reaksi rakyat," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmikan Hari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) ke-25 di Kuala Lumpur semalam.


Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Undang-Undang & Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi SUHAKAM Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus.


Anwar turut mengingatkan SUHAKAM supaya tidak hanya mempertahankan prinsip luhur tanpa memberikan kefahaman kepada rakyat terutama membabitkan isu universal namun akhirnya bertukar rasa cemas.


"... terutama bila kita gunakan satu paparan tentang prinsip-prinsip universal semuanya kerana universal itu ikut naratif

siapa?" soalnya.


Berkenaan isu kewarganegaraan, Perdana Menteri mengalu-alukan pendekatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berunding dengan SUHAKAM dan Majlis Raja-Raja sebelum dibawa kepada Kabinet.


"Jadi ini saya rasa adalah satu pendekatan yang wajar," katanya.


Namun jelasnya masih terdapat beberapa masalah yang belum selesai, di antaranya adalah soal kematian dalam tahanan polis.


"Ketua Polis Negara adalah antara yang menyampaikan dengan saya bahawa beliau terbuka untuk diadakan satu siasatan, kajian untuk mengelak, sebahagiannya benar dan sebahagiannya persepsi, tetapi untuk membetulkan keadaan dengan memastikan kaedah-kaedah yang lebih telus untuk mengelakkan salah guna kuasa.


"Saya bercakap dari segi pengalaman, Datuk Hishamudin antara yang pertahankan semasa saya kena belasah dulu, masa itu belum dihukum, masa itu belum didakwa pun sudah kena belasah setengah mati.


"Jadi kalau orang bicara ada kebimbangan tentang penderaan dan kematian dalam lokap tidak perlu yakinkan saya. Kerana saya tahu apa yang kita rasakan," ujarnya.

0 comments

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page