
Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius isu gejala vape yang tidak terkawal dalam kalangan pelajar sekolah dan akan terus berusaha menanganinya.
Menterinya Fadhlina Sidek menegaskan, pelajar yang didapati melakukan kesalahan berulang menghisap rokok elektronik atau ‘vape’ di sekolah boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah.
Tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan yang diambil kementerian sepertimana ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan peranti tersebut.
"Kita menganggap tindakan melibatkan diri dengan gejala vape ini adalah satu yang sangat serius.
"Tindakan gantung dan buang sekolah itu diambil selepas amaran diberikan kepada pelajar berkaitan, termasuk memanggil ibu bapa mereka bagi menghadiri sesi konsultasi.
"Bagaimanapun, pihak sekolah masih perlu melalui prosedur ditetapkan sebelum pelajar itu dikenakan tindakan sedemikian," katanya dipetik di Dewan Negara pada Rabu.
Fadhlina sebelumnya menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad berhubung isu tersebut pada sesi soal jawab lisan.
Sementara itu menurut Fadhlina, beliau percaya usaha paling berkesan bagi mengawal penularan kebejatan sosial ini adalah melalui pendidikan pencegahan seperti program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).
"Program ini dilaksanakan melalui kurikulum, kokurikulum dan aktiviti pembangunan sahsiah pelajar yang mana pelajar didedahkan kepada bahaya vape, serta dilatih untuk menjadi duta sahsiah yang membantu rakan sebaya menjauhi gejala negatif," tambahnya.
Comments