Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) semalam bahawa pelajar cemerlang mendapat keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dipastikan diberi tempat untuk kursus matrikulasi melegakan para ibu bapa di seluruh negara.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, pengumuman itu merupakan bantuan Perdana Menteri yang ditunggu tunggu sejak sekian lama.
Katanya, saban tahun terdapat begitu banyak pelajar yang 'patah hati' kerana tidak berjaya melayakkan diri ke universiti.
"Saya percaya semua ibu bapa penyayang berkata perkara yang sama kepada anak-anak:
"Jika kamu belajar bersungguh-sungguh, skor A, suatu hari nanti kamu boleh masuk ke universiti".
"Tetapi bagaimana jika anak-anak bekerja keras, mendapat semua A tetapi masih gagal untuk masuk ke matrikulasi? Terdapat ketidakadilan dalam sistem semasa.
"Untuk membantu pelajar yang kecewa, saya menulis surat rayuan seperti kepada Menteri Pendidikan setiap tahun.
Tahun ini saya menulis sebanyak 79 surat," kata Tze Tzin dalam kenyataan hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu, pada tahun ini beliau menemui kes seorang bapa memberitahu bahawa anak perempuannya menangis patah hati selama beberapa hari kerana tidak berjaya ke universiti.
79 pelajar dengan keputusan cemerlang tetapi gagal memasuki matrikulasi hanyalah cebisan kes. Bagaimana pula kes yang tidak berjumpa beliau dan memohon surat rayuan, tanyanya.
Oleh itu, kata Tze Tzin, pegumuman semalam merupakan angin segar kepada sistem pendidikan negara yang seharusnya mengutamakan kecemerlangan sejak dahulu.
"Akhirnya PMX Anwar Ibrahim turun tangan untuk membantu.
"Beliau mengumumkan semua pelajar 10A dan ke atas, tanpa mengira bangsa dan latar belakang akan masuk ke Matrikulasi. Dia melangkah masuk untuk membetulkan ketidakadilan dalam sistem yang meresap selama bertahun-tahun.
"Ini adalah salah satu berita terbaik untuk pelajar yang kecewa. Sistem masih belum sempurna, banyak lagi yang perlu dilakukan. Tetapi, ini adalah langkah pertama ke arah yang betul.
"Terima kasih PMX atas keberanian membetulkan sistem yang menimbulkan perbalahan," katanya lagi.
Comments