Pengumuman Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua pelajar cemerlang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia mendapat 10A ke atas dijamin memasuki kursus matrikulasi mendapat rekasi pro dan kontra dari rakyat.
Bagi Senator dari Sarawak, Abun Sui Anyit, pengumuman itu walaupun baik namun ada beberapa perkara yang perlu diperincikan agar pelaksanaannya akan lebih saksama.
"Saya menyambut baik keputusan Kerajaan untuk menjamin agar anak -anak kita semua kaum mendapat tempat dalam pusat matrikulasi institusi pengajian tinggi awam tempatan.
"Walau bagaimanapun, terdapat dua respons yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak.
"Pertama, ada yang risau ini akan menjejaskan peluang pelajar Bumiputra yang tidak mendapat keputusan 10A ke atas.
"Respons kedua berpendapat jika kuota 90% tempat untuk Bumiputra tidak ditarik balik, maka tidak ada makna jaminan Kerajaan kepada pelajar yang mendapat keputusan 10A ke atas ini. Saya agak meragui dari mana pihak tertentu ini mendapat maklumat kuota untuk Bumiputra di Matrikulasi Universiti Awam adalah 90%?" tanyanya dalam kenyataan.
Menurut Abun Sui lagi, banyak pihak terutama di Malaysia Timur berharap agar Kerajaan tidak melaksanakan pengambilan pelajar 10A berdasarkan sistem merit secara tergesa-gesa, tanpa mempertimbangkan keadilan untuk pelajar dari pedalaman di seluruh negara.
Bagaimanapun, kata Abun Sui, kenyataan PM sebelum ini menekankan pelajar dari pedalaman misalnya Bahagian Kapit, Sarawak juga perlu dipertimbangkan menunjukkan Kerajaan betul dalam memberi keadilan kepada semua pelajar.
"Kepada pihak yang meragui keikhlasan Kerajaan dengan mempertikai sistem kuota tetap disediakan kepada pelajar Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak harus ingat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan merupakan kerangka negara yang wajib dipatuhi mana-mana Kerajaan Persekutuan, termasuk menyediakan peluang kepada Bumiputra di negara ini mendapat tempat dalam matrikulasi.
"Justeru, saya menyokong pendekatan Kerajaan untuk menjamin tempat kepada semua pelajar cemerlang 10A tetapi jangan sampai mengabaikan pelajar dari pedalaman, dan pelajar-pelajar yang kebanyakan mengambil 7 pelajaran sahaja dalam peperiksaan SPM 2023," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Malaysia.
Comments