![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_2d603a1ca4ce448a94d6923306b43bda~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_449,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_2d603a1ca4ce448a94d6923306b43bda~mv2.jpg)
Pelaburan besar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka bukan sahaja menguntungkan pencarum kepada dana pencen itu tetapi juga negara.
Menurut Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Prof Madya Dr Suhaimee Saahar@Saabar, pelaburan itu dijangka akan meningkatkan nilai aset KWSP malah boleh memberikan pulangan pelaburan yang lebih menguntungkan kepada pencarum melalui dividen dan kenaikan harga saham.
"MAHB kini berada pada laluan pemulihan dan pertumbuhan, dengan peningkatan jumlah pelancong dan pemulihan sektor pelancongan jadi pelaburan semula dalam MAHB memberi KWSP peluang untuk mendapat manfaat daripada kenaikan nilai saham jangka panjang.
"Projek dan inisiatif baharu MAHB, seperti peningkatan kapasiti lapangan terbang dan pelaksanaan teknologi baharu, dijangka meningkatkan keuntungan syarikat justeru KWSP melihat MAHB sebagai pelaburan bernilai tinggi yang akan memberikan pulangan mampan kepada pencarum," kata Dr Suhaimee dipetik The Malaysia Press.
Tambah beliau, pembelian saham itu juga bagi memastikan harga saham MAHB disokong untuk mengukuh dan mampu memberi dividen yang lebih baik kelak.
Selain itu, katanya, pembelian kembali saham MAHB dapat memastikan syarikat berkenaan tidak jatuh ke tangan asing sebagaimana dibimbangi banyak pihak ketika ini.
"Dengan membeli semula saham MAHB, KWSP memastikan pemilikan dalam syarikat penting seperti MAHB kekal dalam tangan institusi tempatan dan tidak dikuasai oleh pelabur asing sepenuhnya.
"KWSP juga dapat memastikan kepentingan rakyat Malaysia dalam sektor penerbangan terus terjaga, dengan pemilikan domestik yang kukuh.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti MAHB mendapat kestabilan pelaburan yang diperlukan untuk berkembang dan meningkatkan kecekapan operasi," ujarnya.
Oleh itu, Dr Suhaimee menasihatkan rakyat agar tidak mempercayai khabar angin kononnya KWSP mengalami kerugian dalam pelaburannya dalam MAHB.
"Justeru naratif bahawa KWSP mengalami ‘kerugian’ adalah tidak tepat.
"Sebaliknya, langkah ini mencerminkan strategi pelaburan profesional yang bertujuan memberikan manfaat jangka panjang kepada pencarum dan negara," katanya lagi.
Untuk rekod, sehingga 24 Januari 2025 konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang diterajui Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menguasai sehingga 92.82 peratus saham MAHB.
Hal ini termasuk pegangan 40.85 peratus oleh GDA sebelum tawaran dibuat pada 6 Disember 2024.
Bermaksud hampir 88 peratus pemegang saham MAHB, yang mana saham tidak dimiliki GDA sebelumnya, pada 6 Disember telah bersetuju untuk menjual unit saham mereka kepada GDA.
Comentarios