
Pelaburan RM1.1 bilion yang dilakukan Malaysia Development Holding (MDH) dalam Sapura Energy Bhd (SEB) bukan satu bentuk "bailout" oleh kerajaan kerana dana tersebut tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pemegang saham syarikat tersebut atau pemiutang kewangan sedia ada.
Sebaliknya ia digunakan secara eksklusif untuk membayar kepada lebih 2,000 vendor tempatan terutamanya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), demikian menurut Permodalan Nasional Berhad (PNB).
"Pembiayaan ini penting untuk kelangsungan kewangan penyedia perkhidmatan Malaysia dalam ekosistem minyak dan gas memandangkan SEB mempunyai lebih 2,000 vendor, kebanyakannya adalah PKS serta menggaji kira-kira 59,000 pekerja teras dalam industri minyak dan gas," kata PNB yang merupakan pemegang saham terbesar MDH dalam kenyataan semalam.
PNB berkata langkah tersebut bagi memelihara industri minyak dan gas (O&G) negara kerana SEB adalah penyedia perkhidmatan kritikal untuk industri tersebut selain menyokong perniagaan tempatan dan mengekalkan integriti rantaian bekalan.
Jelasnya memelihara SEB dan ekosistem minyak dan gas yang lebih luas adalah penting untuk kesinambungan projek yang menyumbang kepada hasil dan jaminan tenaga negara.
Inisiatif ini memastikan kestabilan dan kemajuan keseluruhan rantaian nilai O&G negara, katanya lagi.
"Tanpa SEB dan vendor tempatan, kerja tersebut perlu disumberluarkan kepada penyedia asing dan bukan Malaysia, mengakibatkan pembayaran mengalir keluar dari Malaysia.
"Pelaburan ini akan memastikan kerja minyak dan gas negara akan terus dilakukan oleh rakyat Malaysia, memberi manfaat kepada GNI (pendapatan kasar negara) Malaysia sebanyak [1.1]bilion dan memberi kesan positif kepada kadar pertukaran mata wang Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, PNB berkata pelaburan tersebut juga memudahkan penyelesaian salah satu langkah penstrukturan hutang
terbesar di Malaysia, melibatkan beberapa bank terbesar selain membantu mengelakkan pembubaran SEB.
"[Ia]...akan mengakibatkan penjualan aset minyak dan gas strategik negara secara lelongan, di dalam dan luar negara," ujarnya.
Menjelaskan rasional pelaburan itu lagi, PNB berkata suntikan dana itu akan dilakukan selepas pemiutang institusi kewangan SEB bersetuju dengan potongan berkesan yang ketara serta potongan tidak langsung akibat kehilangan nilai daripada penukaran hutang kepada saham pada premium yang tinggi.
"Selain itu, pemegang saham SEB yang sedia ada akan mengalami pencairan yang ketara daripada penukaran saham di bawah Skim Penstrukturan Hutang," katanya.
Dalam hal ini, PNB menjelaskan pelaburan bagi memelihara industri strategik turut dilakukan negara lain Singapura dalam penstrukturan semula Sembcorp melalui Temasek serta pelaburan Korea Selatan dalam penstrukturan semula Daewoo Shipbuilding.
"Pelaburan oleh MDH akan membuka jalan untuk penyelesaian usaha penstrukturan kewangannya yang akan membawa kepada SEB mendapatkan semula kedudukan kewangan yang kukuh dan pemulihan," jelasnya.
Commentaires