Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN PRK NENGGIRI: Menjelang hari mengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri esok, persoalan parti mana yang bakal meraih kemenangan mula menjadi perbualan di mana mana.
Setiap calon menggunakan masa yang bersisa kurang daripada 8 jam terakhir ini menyantuni pengundi seramai mungkin.
Cabaran di Nenggiri adalah bentuk muka buminya yang berbukit bukau, kampung tradisional dan kampung Orang Asli (Orang Asal) jauh di pedalaman. Untuk tiba dari satu kampung ke satu kampung mengambil masa serta menuntut kesabaran yang tinggi.
Hanya calon yang berjiwa kental, disiplin tinggi serta gigih sahaja dapat menyantuni pengundi demi meraih kemenangan.
Kempen Perpaduan tersusun
Daripada segi kempen, penulis menyaksikan gerak kerja dan pengurusan jentera Perpaduan bagi DUN Nenggiri amat tersusun serta bersasar.
Pasukan Perpaduan bekerja keras sebelum hari penamaan calon lagi serta pemimpin-pemimpin turun padang silih berganti.
Bahkan, semakin dekat hari mengundi keagresifan kempen dipertingkatkan.
Di atas kertas dan berdasarkan tinjauan yang penulis lakukan sendiri, penulis dapati peluang calon BN iaitu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mencipta kemenangan amat terbuka luas.
Semangat juang yang tinggi Mohd Azmawi atau lebih mesra dengan panggilan Awie terus konsisten sejak sebelum hari penamaan calon.
Ke mana saja pasukan kempen Kerajaan Perpaduan turun untuk membantu Awie, sambutan yang diterima amat baik.
Baik orang kampung, peneroka Felda, warga KESEDAR, Orang Asli dan lain-lainnya, semuanya menerima baik kedatangan kami berkempen dan memberi layanan yang mesra.
Sebarang penerangan dan penjelasan berkaitan Kerajaan Perpaduan juga mudah mereka terima.
Pilih calon BN lebih bermanfaat
Hakikatnya pengundi DUN Nenggiri faham bahawa memilih calon mewakili kerajaan pusat adalah lebih bermanfaat berbanding calon mewakili Kerajaan Negeri.
Contohnya dalam isu mesin pengeluaran wang elektronik (ATM) yang diperlukan penduduk, hanya beberapa hari selepas calon Perpaduan bersuara mengenainya, mesen itu sudah pun menjadi kenyataan.
Ertinya, jika wakil rakyat yang selari dengan kerajaan pusat menjadi wakil di Nenggiri, banyak lagi faedah boleh mereka perolehi.
Selain itu, calon Perpaduan juga ada kelebihan di sisi pengundi kerana beliau sebelum ini adalah pegawai khas kepada ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof yang tewas kepada Mohd Azizi Abu Naim pada Pilihan Raya Negeri 2023 lalu. Ini menjadikan beliau amat dikenali dan tidak kekok bergaul dengan pengundi.
Faktor lain yang memungkinkan kemenangan ialah kerana kerja keras jentera Perpaduan sendiri yang tidak pernah lelah dalam menyantuni pengundi.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO boleh dikata sentiasa berada di Nenggiri sejak hari penamaan calon.
Pasukan Wanita KEADILAN turun padang
Pasukan kempen PH juga tidak kurang memainkan peranan membantu di mana yang perlu. Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri turun padang membantu calon Perpaduan.
Begitu juga jentera Wanita KEADILAN Kelantan dan pimpinan pusat turut sama-sama mengaktifkan kempen membantu calon Perpaduan.
Pendeknya, kepaduan jentera kempen BN dan PH itu melambangkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus berkhidmat kepada penduduk Nenggiri.
Esok, semoga semua kerja keras ini akan menjadi kenyataan.
__________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments