
Oleh: Abdullah Zaid
Pengundi Kuala Kubu Bharu (KKB) diingatkan untuk memilih pemimpin yang mempunyai visi dan kredibiliti bagi menerajui kawasan berkenaan.
Amanat itu, disuarakan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu pengundi KKB memilih calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei ini.
Hal itu katanya, calon yang diwakili blok pembangkang itu dilihat tidak yakin dalam membawa dirinya sebagai calon sepanjang kempen PRK berlangsung.
"Dari mula berkempen sampai sekarang, hujah mereka melompat-lompat dan tidak konsisten.
"Bila orang tanya mengapa manifesto hampir sama dengan Kerajaan Perpaduan jawapan yang diberi hanya “no comment”," katanya ketika berucap di Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale sempena pilihan raya kecil (PRK) KKB malam tadi.
Malah, kata Amirudin, momokkan blok diterajui Pas dan Bersatu itu membawa kempen untuk menukar kerajaan negeri dilihat hanya untuk mengelirukan rakyat.
"Dari mula kempen mereka kata sebagai titik perubahan (peralihan Kerajaan Negeri) tetapi di Selangor mereka kena cari banyak kerusi lagi, kita ada 35 kerusi, kurang tiga kerusi untuk jadi dua pertiga kerusi dalam Dewan Negeri.
"Bila tidak laku mereka guna pula permainan sentimen dan kaum sempit, kerja kita (pemimpin) satukan orang jaga keharmonian bukan memecahkan keamanan. Sebab itu, pengundi KKB harus pecahkan sentimen ini, pilih calon nombor dua, Pang Sock Tao (calon Perpaduan)," ujarnya lagi.
Sabtu ini, seramai 40,226 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan seorang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan wakil DAP Sock Tao mewakili Perpaduan berhadapan dengan tiga seteru bagi merebut kerusi DUN KKB.
Comments