Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan pemantauan secara berterusan termasuk pergerakan dan perhubungan dua bekas tahanan Teluk Guantanamo yang baru dibawa pulang ke tanah air pada Rabu lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada program deradikalisasi dan pemulihan bekas tahanan penjara tentera Amerika Syarikat (AS) itu.
"Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani prihatin dan ihsan akan kebajikan dua orang warganegara Malaysia yang kembali dari Kem Tahanan Guantanamo Bay.
"Oleh itu sebuah pelan integrasi yang komprehensif akan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan kedua-dua mereka ini," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang berkongsi infografik mengenai program itu berkata, pelan itu dirancang untuk memastikan pemulihan yang menyeluruh dan membolehkan individu berintegrasi semula ke dalam masyarakat.
"Program ini disusun secara terperinci melalui tiga fasa utama yang setiap satunya menitikberatkan keseimbangan antara pemulihan individu dan keharmonian sosial.
"Sebagai pelengkap kepada pelan ini, mekanisme pemantauan rapi turut dirangka untuk memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
"PDRM akan melaksanakan pemantauan berterusan, termasuk lawatan berkala bagi menilai kemajuan pemulihan serta memastikan kebajikan subjek terus terjaga," katanya.
Dalam infografik berkenaan, Saifuddin menjelaskan fasa pertama melibatkan peringkat peralihan di mana subjek melalui proses pemulihan dan penyesuaian diri dalam persekitaran terkawal dan terancang.
"Fasa kedua, integrasi keluarga bertujuan memperkukuh hubungan subjek dengan ahli keluarga dan sediakan asas yang kukuh untuk kembali kepada kehidupan bermasyarakat.
"Fasa ketiga, kelangsungan hidup yang merupakan peringkat terakhir program pemulihan bagi memastikan subjek dapat menjalani kehidupan secara mandiri dan produktif dalam masyarakat," katanya.
Rabu lalu kerajaan Malaysia menerima dua rakyat negara ini yang diserahkan oleh Amerika Syarikat (AS) setelah ditahan di Kem Guantanamo Bay, Cuba sejak 2006 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Tentera AS atas kesalahan membunuh yang melanggar undang-undang perang.
Kedua-duanya disabitkan kesalahan itu setelah didapati memainkan peranan dalam insiden pengemboman di Bali, Indonesia pada 2002.
Comments