Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk pelajar terjejas banjir gelombang seterusnya sepanjang musim tengkujuh ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, kaedah itu masih relevan dilaksana bagi memastikan pelajar terjejas banjir tidak keciciran.
"PdPR masih relevan, sebab itu semasa sekolah jadi PPS (Pusat Pemindahan Sementara), anak-anak ini kita susun (dengan) separuh akan ikut PdPR untuk beri keselesaan dan keutamaan kepada yang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)
"Kalau ada gangguan Internet sekalipun, persiapan material berbentuk handout (bahan pembelajaran) boleh diberikan terus oleh guru-guru Jadi, pendidikan itu tidak akan terganggu walaupun dalam keadaan banjir," katanya dipetik.
Fadhlina berkata begitu kepada pemberita ketika Lawatan Kerja ke Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengal, Dungun pada Isnin.
Sementara itu beliau memaklumkan, KPM juga menumpukan sokongan psikososial dan emosi serta pembelajaran untuk pelajar terjejas banjir.
Bagi tujuan itu seramai 1,580 jurulatih pasukan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) digerakkan bagi membantu murid daripada segi sokongan psikososial dan emosi.
SST terdiri daripada sukarelawan guru bimbingan dan kaunseling berpengalaman serta terlatih dalam menyokong emosi murid yang terkesan manakala AST pula membantu murid meneruskan pembelajaran walaupun berada di PPS.
コメント