Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Selangor menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada pasukan petugas khas yang bertanggungjawab mengendalikan sesi pemulihan anak-anak mangsa GISB Holdings (GISBH) di negeri berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu diserahkan melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang bertanggungjawab menyelaraskan sumbangan yang diterima untuk anak-anak GISBH.
''Pasukan ini juga telah melaksanakan sesi libat urus bagi membangunkan Pelan Pemulihan yang komprehensif bersama pakar-pakar bidang dari setiap kluster pada 17 dan 18 Oktober yang lalu.
''Pelan pemulihan ini merangkumi empat kluster utama, iaitu kebajikan, kesihatan, pendidikan, dan perundangan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611),'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media dan penyampaian sumbangan kerajaan negeri di bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari.
Bagi kluster kebajikan, Amirudin yang juga Ketua Pakatan Harapan (PH) negeri menjelaskan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor memastikan semua keperluan dan kemudahan anak-anak GISBH dipenuhi dengan lengkap dan sempurna.
Pada masa ini beliau berkata, mereka berada di tempat yang selamat di bawah pengurusan JKM negeri.
''JKM Selangor bekerjasama rapat dengan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memastikan pemulihan anak-anak ini boleh diteruskan sewajarnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
''Bagi kluster perundangan, pihak kerajaan negeri sedang melihat daripada pelbagai sudut bagi memastikan kerajaan dapat membantu kanak-kanak ini untuk dipulihkan dalam tempoh yang munasabah.
''Ia adalah bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka dari hak kesihatan fizikal, mental, pemahaman akidah Islam yang benar dan tidak keciciran dalam pendidikan formal,'' katanya.
Untuk kluster kesihatan, Amirudin berkata, pemulihan komprehensif kesihatan diketuai oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan dianggotai pakar pediatrik, pakar perubatan keluarga, kaunselor, ahli psikologi klinikal, pakar psikiatri daripada sektor awam dan swasta.
Beliau berkata, saringan dan pemeriksaan intensif dilaksanakan bermula pada 4 hingga 8 November 2024 bagi empat kategori.
Empat kategori itu adalah pemeriksaan kesihatan fizikal, penilaian perkembangan fizikal, penilaian kesihatan mental dan pengenalpastian masalah pembelajaran.
''Kluster pendidikan pula merangkumi pemulihan komprehensif pendidikan diketuai Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan dianggotai Majlis Agama Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS).
''Pemulihan pendidikan telah dimulakan sejak 1 Oktober lalu terdiri daripada pemulihan akademik serta pemulihan akidah.
''Bagi modul pemulihan akidah dan Pendidikan Islam Insani, MAIS dan JAIS menggunakan modul khas yang dibangunkan dengan kerjasama MAIS, JAIS dan dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) untuk memantapkan keimanan dan keyakinan terhadap akidah Islam yang sahih dan suci,'' ujarnya lagi.
Selain itu, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memaklumkan bahawa MAIS dan JAIS turut menjalankan soal selidik mengenai masalah akidah.
Katanya, soal selidik itu dijalankan melibatkan 176 anak-anak GISBH yang berada dalam lingkungan umur 4 hingga 17 tahun.
''MAIS telah menyediakan dua set soalan berkaitan itiqad dan amalan untuk melihat tahap keparahan akidah anak-anak ini.
''Hasil soal selidik mendapati majoriti anak-anak GISBH yang disoal selidik tidak mempunyai masalah akidah yang kritikal.
''Hanya dalam 10 peratus mempunyai masalah dalam i’tikad yang kritikal, manakala 15 peratus mempunyai masalah amalan Islam yang kritikal,'' katanya.
Commenti