Pasukan khas diwujudkan tangani kesan tarif AS - Zafrul
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Satu pasukan petugas akan diwujudkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertujuan mengumpul maklum balas daripada semua pihak berkepentingan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas barangan Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan langkah itu adalah untuk memastikan eksport dan pelaburan Malaysia tidak terkesan teruk akibat tindakan unilateral AS.
''Esok MITI akan berjumpa dengan wakil badan-badan industri dan persatuan pengeksport.
''MITI juga akan berlibat urus dengan kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan sebagainya.
''Pada 10 April ini, saya akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama Menteri Ekonomi ASEAN bagi membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi dan respon bersepadu ASEAN.
"Selepas itu, pemimpin ASEAN akan bertemu untuk membincangkan hala tuju ASEAN bagi menangani dan mengurangkan potensi gangguan kepada perdagangan serantau, rangkaian rantaian bekalan dan aliran pelaburan ke rantau ini,'' katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Comments