
Kementerian Komunikasi mengenal pasti lebih 67 kawasan zon perindustrian yang bakal diberi keutamaan dalam pelaksanaan rangkaian teknologi 5G.
Menterinya Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak sekadar mahu memastikan capaian rangkaian itu mencapai 100 peratus namun berhasrat memastikan ia memberi manfaat maksimum termasuk dalam sektor perindustrian.
"Fokus kita selepas ini adalah untuk memastikan sektor-sektor yang boleh menerima manfaat paling besar daripada kelajuan internet 5G.
"Ini supaya syarikat-syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta kilang-kilang boleh memanfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Big Data yang memerlukan internet yang (berkelajuan) tinggi dan selamat," katanya dipetik.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata begitu kepada pemberita selepas menghadiri program Sumbangan Tahun Baharu Cina di Pasar Pagi Taman Seri Sentosa di Kuala Lumpur pada Ahad.
Fahmi pada Sabtu memaklumkan, liputan rangkaian 5G di seluruh negara mencapai 82.4% di kawasan berpenduduk setakat Disember 2024, menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Manakala kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat bagi tempoh sama telah mencapai 53.35%, melonjak hampir lima kali ganda berbanding 10.8% pada Oktober 2023.
Sementara itu Fahmi yang juga Jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan memaklumkan, mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Industri Keempat (MED4IR) yang dijadualkan berlangsung 12 Feb depan akan membincangkan isu pelaksanaan perkhidmatan rangkaian 5G.
"Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita akan bincang termasuk mengenai pelaksanaan rangkaian 5G, sama ada yang pertama di bawah Digital Nasional Berhad atau yang kedua di bawah U Mobile," katanya.
Comments