Kerajaan Madani akan terus melaksanakan reformasi fiskal bagi memastikan ekonomi negara akan lebih baik daripada sebelumnya.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 meraikan pemain pemain dunia korporat yang mencatat kejayaan membanggakan serta menyumbang kepada kerancakan pembangunan ekonomi negara, malam tadi.
Dalam ucapannya, PM menyarankan agar sektor korporat menggunakan kesempatan keemasan tatkala Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun depan bagi menonjolkan gabungan itu sebagai tarikan pelaburan dan perdagangan global.
Selain itu, katanya, keputusan Kerajaan untuk menyertai kerjasama BRICS juga membolehkan Malaysia meneroka pasaran baharu serta meningkatkan peluang pelaburan dan perdagangan, khususnya terkait sektor minyak sawit, getah dan elektronik.
"Saya tegaskan bahawa Kerajaan sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mempermudah urusan perniagaan, permodalan, tenaga mahir dan perkongsian teknologi dengan negara jiran, selain sedia memberikan insentif percukaian kepada syarikat yang terbabit dalam aktiviti berimpak tinggi.
"Saya ulangi komitmen Kerajaan untuk mengotakan janji reformasi meskipun perlu melaksanakan langkah sukar dan tidak popular, demi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik, mengurangkan defisit serta menjamin kemampanan negara berkekalan," katanya di Facebook.
Dalam ucapan malam tadi, PM memberi jaminan bahawa perkhidmatan awam pada era pentadbiran beliau akan menjadi lebih cekap, tegas dan telus.
Selain mengurangkan insiden kecurangan dan rasuah dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih baik untuk kumpulan perniagaan.
"Justeru saya ambil kesempatan menggesa sektor korporat untuk bersama-sama Kerajaan dalam usaha melawan rasuah yang merosakkan etika, nilai, budaya dan masyarakat, selain menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
"Jangan sesekali kita lupakan kisah tragis empayar hebat Rom yang runtuh akibat rasuah.
"Ini masanya sektor swasta bekerjasama dengan Kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat, generasi masa depan serta memastikan setiap rakyat di negara ini dapat menikmati kehidupan yang bermaruah," katanya lagi.
PM merupakan tetamu kehormat dalam majlis The Edge Billion Ringgit Club 2024 yang diadakan di Hotel St Regis, Kuala Lumpur itu.
Sebanyak 55 anugerah diberikan kepada 40 syarikat berprestasi baik pada malam tadi. PM diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia dalam majlis berkenaan.
Comments