
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membentangkan cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kadar pembayaran balik pinjaman tanpa membebankan peminjam.
Perdana Menteri berkata perkara itu akan dibentangkan selepas Aidilfitri, selaras dengan usaha memastikan kelestarian dana PTPTN agar generasi akan datang terus mendapat manfaatnya.
"Saya meneliti isu kadar pembayaran balik PTPTN yang masih rendah dan menyedari kepentingan memastikan kelestarian dana ini agar generasi akan datang terus mendapat manfaat.
"Justeru itu, saya telah mengarahkan pihak pengurusan PTPTN untuk membentangkan cadangan penambahbaikan selepas Aidilfitri bagi mempertingkat kadar pembayaran balik tanpa membebankan peminjam," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi meneliti perkembangan sektor pendidikan tinggi negara.
"Antara isu utama yang dibincangkan adalah persiapan generasi masa depan dalam menerokai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan tumpuan kepada industri semikonduktor yang semakin berkembang pesat," katanya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Parlimen pada Februari lalu mengesorkan PTPTN agar mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik yang lebih efektif bagi memastikan ia tidak bergantung kepada pinjaman daripada institusi kewangan tempatan untuk melaksanakan fungsinya.
Menurut laporan itu, jumlah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diterima pada 2023 adalah RM3.553 bilion atau 32.7 peratus daripada jumlah tunggakan iaitu RM10.853 bilion.
Sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud ketika bercakap di Parlimen berkata
kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan sekatan perjalanan ke luar negara PTPTN yang gagal melunaskan bayaran.
Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini menjelaskan bahawa kementerian belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk melaksanakan sekatan perjalanan ke atas peminjam PTPTN yang gagal membuat bayaran balik.
Pada November lalu, Zambry dalam jawapannya di Parlimen berkata sejumlah RM32.29 bilion pinjaman PTPTN setakat 31 Disember 2023 sepatutnya dibayar balik oleh 2,716,110 peminjam.
Beliau berkata jumlah itu adalah daripada daripada keseluruhan RM71.3 bilion yang telah dipinjamkan.
"Sehingga tempoh tersebut, PTPTN sudah meluluskan 3,951,404 pinjaman," katanya.
留言