Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap 6 Julai lalu didorong oleh beberapa faktor.
Salah satunya adalah kekurangan undi dari masyarakat India. Dilaporkan angka keluar mengundi masyaralat India pada Sabtu lalu sekitar 58%, agak rendah berbanding kebiasaannya di atas 70%.
Menurut Setiausaha Politik Presiden KEADILAN, Manivanan Gowin kekurangan peratusan keluar mengundi itu berkemungkinan diakibatkan beberapa isu yang membelenggu masyarakat berkenaan yang tidak diselesaikan dengan baik.
"Perkara utama (kurang sokongan masyarakat India) saya lihat adalah penerangan mengenai apa yang sedang dilakukan oleh PMX dan Kerajaan Madani tidak sampai kepada mereka secara holistik.
"PMX memang buat (kerja bantu masyarakat) tetapi penerangan perlu sampai. Apa benda yang Datuk Seri Anwar buat.
"Kedua, benda itu (bantuan) tidak boleh terlalu ketat dengan protokol. Maksud saya kita membantu perlu gunakan budi bicara. Kita tidak boleh mengganggu undang undang (prosidur) sedia ada, kalau ada permintaan (berkenaan) undang undang. Tetapi ada banyak lagi yang memang merujuk kepada budi bicara.
"Kalau sesuatu perkara itu dirujuk kepada budi bicara, saya harap pimpinan gunakan budi bicara dengan hasrat apa apa polisi, dasar bantuan yang dibawa oleh PMX, objektifnya sampai kepada pengundi
"Ketiga, kita perlu menyelesaikan masalah yang berkaitan masyarakat India (secara tuntas) contohnya sekolah daif, bantuan rumah ibadat, bantuan pendidikan dan perniagaan," katanya diketika dihubungi.
Manivanan bagaimanapun tidak menolak beberapa isu tempatan dibangkitkan di Sungai Bakap belum diatasi dan hal itu menyulitkan untuk memujuk sebanyak mungkin pengundi India turun membuang undi.
Namun, menurut Timbalan Pengarah Pilihanraya KEADILAN Pusat itu, isu masyarakat India perlu diselesaikan secara menyeluruh di peringakat nasional agar satu gelombang sokongan boleh dibina terhadap Kerajaan Perpaduan yang dilihat mempunyai tekad memperbaiki kedudukan kaum itu
"Ada isu tempatan yang dibangkitkan berkaitan dengan masyarakat India yang kerajaan Pulau Pinang serta Kerajaan Persekutuan wajar menyelesaikannya dalam masa terdekat
"Isu itu bukan sahaja di Sungai Bakap. Isu sebegini merangkumi seluruh Malaysia. Setiap isu yang dibangkitkan, yang ada merit, bagi saya perlu diselesaikan secepat mungkin," katanya yang berkampung selama 10 hari membantu jentera KEADILAN di PRK Sungai Bakap.
Sabtu lalu, calon PH Cikgu Joohari Ariffin kalah kerana faktor keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina dan India, sedangkan calon PN berjaya mengekalkan jumlah undi kaum Melayu yang tinggi diperolehi gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023 lalu.
Comments