Parti parti dalam Kerajaan Perpaduan terutama KEADILAN seharusnya memikirkan strategi yang lebih berkesan untuk mendekati anak muda.
Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Puad, hal itu perlu dilakukan sebagai tindak balas kepada buruknya prestasi Pakatan Harapan (PH) yang kehilangan banyak undi anak muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap semalam.
Katanya, anak muda keluar begitu ramai pada hari mengundi tetapi PH mendapat sokongan yang begitu kecil.
"Ambil pengajaran. Selepas ini program untuk anak muda dan penerangan tentang dasar kerajaan kepada anak muda perlu diperhebatkan lagi. Perlu lebih kerap santuni mereka.
"Ramai anak muda begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan naratif yang dibawa pembangkang. Naratif yang dibawa pembangkang berjaya tawan hati anak muda
"Kita kalah bukan sebab kita tak kuat dan buat perkara yang salah tapi kerana media dan psywar kita lemah," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata Faezuddin, kekalahan KEADILAN juga disebabkan penguasaan media sosial yang kurang baik berbanding PN yang menghasilkan banyak kandungan terutama dalam isu penyasaran subsidi diesel dan isu isu semasa.
"Kerajaan buat perkara yang betul walaupun tak popular seperti penyasaran subsidi. Tapi penerangan kepada rakyat dilihat tak begitu berkesan.
"Kita perlu kuasai semua media yang ada. Baik media arus perdana mahupun media sosial. Kuasai dengan kreatif. Latihan menguasai media, latihan penyampaian maklumat kepada anggota dan pimpinan akar umbi perlu diperbanyakkan," ujarnya.
Beliau juga berharap pimpinan Kerajaan Madani akan melakukan muhasabah di atas kekalahan tersebut kerana banyak lagi Pilihan Raya Kecil dan Negeri yang bakal dihadapi menjelang Pilihan Raya Umum 3 tahun lagi.
コメント